Sarawak optimis dapat gandakan KDNK kepada RM280 bilion menjelang 2030

KUCHING-- Sarawak optimis mampu menggandakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM140 bilion kepada RM280 bilion menjelang 2030 melalui pendekatan pembangunan mampan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

"Di bawah PCDS 2030, kerajaan Sarawak telah menggariskan tiga asas utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

"Meskipun sasaran ini dilihat sangat tinggi dan ada yang bertanya kepada saya jika kita boleh mencapainya, tetapi apabila anda berlayar dengan kapal, anda mesti mempunyai destinasi kerana tanpanya, anda akan sesat.

"Namun, kapal kami dilengkapi dengan baik, dan kami bersedia untuk menghadapi cabaran sepanjang perjalanan, termasuk ribut dan ombak deras," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan RAM bertemakan 'Advancing an Inclusive and Sustainable Future - Spotlight On Sarawak' di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan strategi itu bukan semata-mata mengenai pertumbuhan tetapi juga memastikan kemampanan dan keterangkuman. 

“Tiga teras PCDS 2030 ialah kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan kelestarian alam sekitar. Inovasi, infrastruktur digital dan pendidikan adalah pembolehubah utama dalam visi ini,” tambahnya.

"Dengan ekosistem ini, kita dapat laksanakan dan penghujungnya nanti menjelang 2030, kita mampu mencapai KNDK daripada RM140 bilion kepada RM280 bilion, iaitu sasaran kita," tegasnya.

Selain itu, katanya pendekatan Sarawak terhadap kemampanan, terutamanya dalam perdagangan karbon dan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), telah menarik perhatian kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Sarawak kini sedang bekerjasama dengan Jepun dan Korea Selatan dalam pengeluaran hidrogen yang dijangka menghasilkan kira-kira 240,000 tan hidrogen untuk dieskport kepada kedua-dua negara itu menjelang 2028.

"Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang pada masa ini mempunyai perundangan perdagangan karbon, iaitu Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pembebasan Gas Rumah Hijau), 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2024," ujarnya.

Pada masa sama beliau turut berkongsi amalan terbaik global, seperti inovasi ladang solar Abu Dhabi, sebagai inspirasi untuk strategi tenaga mampan Sarawak.  

“Kemajuan dalam teknologi telah mengurangkan kos secara mendadak, menjadikan tenaga boleh diperbaharui lebih mudah diakses.  

"Dengan inisiatif seperti ini, Sarawak menjamin masa depan yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Justeru, beliau berkata kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat amat penting dalam mencapai cita-cita tersebut.  

Hadir sama majlis itu ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi RAM Holdings Sdn Bhd Datuk Kamaruddin Taib.
Next Post Previous Post