Bidang kejuruteraan semakin penting dalam mengubah Malaysia-Fadillah
KUCHING-- Bidang kejuruteraan akan menjadi semakin penting dalam mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, mampan dan berteknologi maju, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, terdapat lebih daripada 200,000 jurutera dan ahli teknologi kejuruteraan berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dengan purata tambahan sebanyak 15,000 pendaftaran baharu setiap tahun.
"Golongan ini mewakili sumber tenaga manusia sedia ada bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam bidang kejuruteraan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) di Dewan Banquet Menara FELDA, Kuala Lumpur, hari ini.
Pada masa sama Fadillah memberitahu, ini selaras dengan objektif yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 atau NIMP 2030.
Jelasnya, NIMP 2030 merupakan elemen penting dalam Ekonomi MADANI bertujuan untuk menyokong pembaharuan ekonomi dalam memberi nafas baharu kepada sektor pembuatan bagi memastikan daya juang Malaysia di tengah-tengah cabaran dan trend mega yang mendatang.
"Adalah penting bagi negara kita memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk membina minda muda anak bangsa yang berdaya saing," katanya.
Justeru, tegasnya, usaha memperkasakan komuniti kejuruteraan wajar dilaksanakan secara komited agar para jurutera negara ini terus berganding bahu menyumbang peranan dalam memacu usaha membentuk negara yang makmur, mampan dan inklusif.
"Dalam menuju ambang era baharu, kita memiliki tanggungjawab besar untuk memanfaatkan pelbagai peluang menerusi teknologi kejuruteraan serta berusaha mendepani cabaran dalam bidang ini demi memacu negara supaya terus maju ke hadapan," ujarnya.