Sarawak mahu abadikan nama Pahlawan sebagai mercu tanda

KUCHING -- Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengabadikan kesemua nama perwira Sarawak sebagai mercu tanda di Sarawak bagi memberi penghormatan kepada jasa dan sumbangan mereka, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, untuk itu, kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk menamakan sesebuah tempat baharu di negeri ini dengan nama-nama Pahlawan Sarawak.

Tambah beliau, memandangkan Sarawak kini dalam fasa pembangunan yang kini banyak tempat-tempat baharu akan dibuka, nama-nama pewira ini boleh diabadikan sebagai nama tempat baharu ini.

“Begitu juga dengan pahlawan-pahlawan kita yang lain, sudah tentu kita mengambil kira. Tempat-tempat yang sedang kita membangun dan sudah tentu ada tempat baharu yang boleh kita namakan atas nama pahlawan kita untuk mengenang jasa mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir ke atas penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), mendiang Koperal (B) Etin Jam di Dewan Suarah Kuching, di sini, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut berkesempatan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Etin. 

Mengiringi beliau berdua ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 

Mengenai mendiang Etin, Abang Johari berkata, semangat juang yang ditunjukkan oleh mendiang semasa perkhidmatannya perlu dijadikan contoh kepada generasi muda dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara ini. 

Semasa perkhidmatannya, mendiang telah berjaya membunuh seorang pengganas komunis yang menyerang hendap rombongan beliau yang sedang mengiringi sebuah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membawa bahan letupan pemecah batu pada 29 April 1972. 

Perwira Negara Kpl Etin Jam menghembus nafas terakhir pada pagi Selasa di Hospital Umum Miri akibat barah paru-aru akan disemadikan di Makam Pahlawan esok hari.

Mendiang merupakan salah seorang penerima Pingat Bintang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke V Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Sha Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah pada 6 Julai 1972.

Beliau adalah anak jati Lubok Antu, telah mula berkhidmat sebagai Konstabel Polis pada 27 Februari 1963 di Batalion 18 Pasukan Polis Hutan (PPH) Miri, Sarawak. 

Menyingkap kembali peristiwa yang berlaku pada 29 April 1972, mendiang pada masa itu berpangkat Konstabel di Kem Batalion 18 Pasukan Polis Hutan (PPH), Miri bersama empat orang anggota termasuk seorang Koperal mengiringi sebuah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membawa bahan-bahan letupan pemecah batu.

Semasa melewati jalan berliku dan masih diliputi hutan tebal dari Batu 30 ke Batu 43 Jalan Ulu Oya, Mukah Sarawak, beliau mula merasa tidak tenteram. 

Mereka telah diserang hendap oleh segerombolan pengganas komunis dan telah berlaku tembak menembak tanpa memperdulikan nyawa dan keselamatan diri, beliau dan Sub Inspektor (SI) Ngalinuh Bala yang pada ketika itu berpangkat Koperal melompat keluar dari tempat persembunyian dan meluru masuk ke kubu musuh sehingga beliau berjaya membunuh salah seorang daripada pengganas komunis tersebut. 

Menyedari keberanian dan semangat juang anggota keselamatan tesebut, pengganas komunis merasa takut dan melarikan diri.
Next Post Previous Post