Suspek kes bunuh bapa saudara di Haji Baki ada rekod jenayah, positif dadah

KUCHING-- Suspek kes bunuh di Haji Baki yang mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, setakat ini hasil siasatan mendapati suspek berusia 27 tahun itu mempunyai rekod lampau mendatangkan kecederaan.

Sehingga kini, suspek masih direman sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada Isnin lalu, suspek ditangkap orang awam sebelum diserahkan kepada polis selepas didakwa membunuh bapa saudaranya di sebuah kampung di Jalan Haji Baki di sini.

Mohd Irwan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 8.50 malam Isnin memaklumkan berlaku pergaduhan antara dua lelaki di sebuah perkampungan di Jalan Haji Baki di sini.

Susulan itu, jelasnya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama D9 JSJ IPK Sarawak bergegas ke lokasi kejadian. 

"Seorang lelaki berumur 55 tahun dijumpai terbaring dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," ujarnya.

Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat ditikam menggunakan gunting oleh anak saudaranya.

Difahamkan, mangsa adalah bapa saudara kepada suspek.

Suspek dikatakan tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya dan sering meminta wang daripada bapa saudaranya itu.

Dipercayai berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum kejadian malang itu berlaku.
Next Post Previous Post