Warga emas hilang hampir sebulan ditemui mati di kawasan Sungai Jeran berhampiran Bukit Minampun
SERIAN -- Seorang warga emas yang dikhuatiri hilang sejak 20 hari lalu ditemui mati di kawasan Sungai Jeran berhampiran Bukit Minampun Kampung Kakeng petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa yang dikenali sebagai Denis Nyawod berusia 76 tahun dijumpai di kawasan Sungai Jeran, Bukit Minampun di Kampung Kakeng pada jam 2.25 petang yang terletak kira-kira 3 kilometer dari kediaman beliau sendiri.
"Sampai di lokasi BBP Serian terus bergerak ke lokasi melalui denai Hutan bersama pihak PDRM, RELA dan penduduk kampung," ujarnya.
Sampai di lokasi, pasukan bomba bertindak membungkus mayat mangsa dengan menyimpannya dalam beg mayat seterusnya mengusung mayat keluar dari lokasi.
Setelah sampai di kampung, mangsa kemudiannya diserah kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Kali terakhir mangsa dilihat pada tengah hari 17 Mei lalu sekitar jam 12 tengah hari sebelum hilang dan tidak lagi kembali ke kediamannya.
Pencarian telah dibuat oleh ahli keluarga bersama orang kampung di sekitar kampung dan kebun pada hari sama, namun mangsa masih belum ditemui.
Ahli keluarga turut memaklumkan bahawa mangsa mengalami penyakit hilang ingatan.
Gambar PGO Sarawak