Ada yang cemburu dengan Sarawak, Abang Johari sekali lagi nafi tak ambil hak Petronas

KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak menafikan bahawa terdapat pihak di Semenanjung yang cemburu dengan kejayaan Sarawak meningkatkan hasil kutipan melalui sektor minyak dan gas, namun beliau sekali lagi menegaskan Sarawak tidak mengambil hak Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Beliau menjelaskan Sarawak menganggap Petronas sebagai rakan kongsi dalam industri industri minyak dan gas di negara ini.

Tegasnya, kerjasama membabitkan kerajaan Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan Petronas terjalin berlandaskan undang–undang yang termaktub.

"Kita (Sarawak) tidak mengambil hak Petronas. Sarawak tidak berbuat demikian kerana kita meneroka industri ini berdasarkan hak malahan beroperasi mengikut parameter undang–undang.

“Petronas dan Sarawak faham mengenai perkara ini tetapi ada pihak luar cuba (mengapi-apikan) supaya Petronas tidak bekerjsama dengan Petros,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Kemudahan Pemasangan dan Pengedaran Elektroliser Sarawak (SEA-DF) yang akan dikendalikan oleh SEDC Energy dan Lestari H2GaaS yang merupakan anak syarikat baharu milik Petronas di Taman Perindustrian Demak Laut di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, pelancaran kilang kemudahan pengagihan elektrolizer pertama di negara dan rantau Asia Tenggara itu juga merupakan bukti kukuh kerjasama erat Sarawak melalui SEDC Energy dan Petronas.

“Petronas adalah rakan kongsi untuk Sarawak dan hari ini kemudahan ini merupakan antara kerjasama Petronas dan SEDC Energy. 

"Adalah lebih baik untuk kita terus bekerjasama rapat kerana ia membawakan lebih banyak manfaat khususnya dalam melahirkan tenaga pakar.

“Malah, saya difahamkan bahawa kilang ini melatih seramai lapan anak Sarawak yang bakal menjadi jurutera berkaitan tenaga hijau,” jelasnya.

Pada Rabu, Abang Johari ketika berucap pada Majlis Ngabang Gawai Dayak 2024 Betong menempelak pihak tertentu yang menuduh Sarawak menguasai pengurusan minyak dan gas Petronas.

Tegasnya, Sarawak berpegang kepada peruntukan dalam Perlembagaan iaitu Jadual 9 Bahagian 5, dengan menggunakan haknya untuk mencari pendapatan menerusi pelaksanaan cukai jualan.

Beliau berkata demikian susulan terdapat laporan portal dalam talian yang mendakwa Petronas akan terjejas teruk pada masa akan datang sekiranya terus membiarkan Sarawak memonopoli industri minyak dan gas negara.
 
Sebaliknya kata Abang Johari, kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas sumber minyak dan gas di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang diluluskan sebelum pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan ia tidak pernah dimansuhkan.
Next Post Previous Post