Kerajaan Sarawak pertimbang bina Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Betong-Abang Johari

BETONG-- Kerajaan Sarawak mempertimbangkan permohonan untuk mewujudkan sebuah sekolah antarabangsa di bawah Yayasan Sarawak di Betong.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak akan mengenal pasti lokasi bagi menubuhkan sekolah antarabangsa tersebut di bahagian itu.

"Berhubung cadangan menubuhkan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Betong, akan kita bincangkan. Lokasi sesuai harus dikenal pasti dan Betong akan menjadi pusat sekolah antarabangsa ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada permintaan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Ngabang Gawai Dayak Bahagian Betong 2024 di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong, pada Rabu.

Tambahnya, lokasi yang sesuai bagi memastikan pelajar yang layak dari kawasan sekitar betong seperti Sri Aman, Saratok, Engkilili dan Lubok Antu mendapat akses.

Pada majlis itu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, pembinaan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Betong perlu dalam usaha membangunkan modal insan di bahagian berkenaan.

Menurutnya sekolah berkenaan apabila beroperasi nanti tidak hanya akan memberi perkhidmatan kepada penduduk Betong tetapi mereka yang tinggal di kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengumumkan kelulusan pembinaan Bangunan Baharu kampus Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Betong yang ketika ini menyewa di bangunan komersial di situ.

"Sekarang CENTEXS Betong masih menyewa. Kita akan bangunkan bangunannya sendiri. Tiada masalah," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, kawasan perumahan dan komersial baharu akan dibangunkan di bahagian Betong dalam usaha merancakkan lagi pembangunan ekonomi di situ.

Beliau menjelaskan projek itu akan dibangunkan di lokasi yang terletak di persimpangan jalan menuju Sri Aman dan Jalan Betong.

"Kita ada jalan baharu, dari Sri Aman menuju terus ke Betong, melalui jalan Lebuh Raya Pan Borneo dan di simpang jalan itu, kita merancang dibangunkan projek perumahan dan kawasan komersial.

"Sebentar tadi saya telah meluluskan tapak bersama JTS (Jabatan Tanah dan Survei) tapak untuk projek ini. Kawasan ini boleh membekalkan 1,000 lot tanah dan ia akan dibangunkan secara berfasa," katanya.

Abang Johari berkata, projek itu akan dilengkapi jalan penghubung sepanjang lima kilometer dan apabila siap nanti ia memendekkan jarak perjalanan dari Betong ke Spaoh.

"Apabila siap jalannya lebih kurang 5km dari simpang jalan Betong. Apabila sudah sampai Betong maknanya untuk ke Spaoh tidak jauh lagi. 

"Di Spaoh ada lapangan terbang kecil (Lapangan Terbang Landasan Pendek - STOLport di Bebuling, Spaoh). Dekat sudah dengan Batang Ai. Maknanya pelancong boleh dengan mudah ke Batang Ai," ujarnya.

Pada majlis itu juga, beliau turut meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi menaik taraf Masjid Bahagian Betong.

Menurutnya peruntukan itu akan digunakan bagi membesarkan masjid berkenaan agar ia dapat menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Hadir sama pada majlis itu isteri Abang Johari, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembagunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu dan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Next Post Previous Post