Kanak-kanak pandu kereta di Sibu hidap autism, polis keluarkan saman ke atas bapanya

SIBU-- Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang tular memandu sebuah kereta di Jalan Kampung Nyabor di sini semalam menghidapi penyakit Autism dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, ini hasil siasatan yang dijalanlan setelah kanak-kanak terbabit bersama ibu bapanya dipanggil ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu semalam.

"Semalam, sekitar jam 3 petang polis mengesan satu rakaman video tular daripada orang awam yang dimuat naik ke laman sosial Facebook menunjukkan sebuah kenderaan dipandu oleh seorang kanak-kanak bawah umur yang berlaku di Jalan Kampung Nyabor, Sibu.

"Pada hari yang sama sekitar jam 6.50 petang, polis berjaya mengesan pemandu kereta terbabit bersama Ibu bapa dan telah dibawa ke Pejabat Trafik untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak lelaki terbabit menghidap penyakit Autism dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, tegasnya, polis telah mengambil tindakan saman di bawah Seksyen 026(1)B Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas bapa kanak-kanak terbabit kerana kesalahan membenarkan pemandu memandu tanpa memiliki lesen memandu.

Sehubungan itu, beliau menyeru dan menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan dengan video yang tular ini dan pihak polis mengambil tindakan secara profesional.
Next Post Previous Post