Sarawak mungkin boleh guna Terminologi 'Provincial Parliament' seperti Kanada, Australia

KUCHING -- Sarawak mungkin mengadaptasi penggunaan terminologi 'Provincial Parliament' yang diguna pakai di negara Komanwel khususnya Kanada dan Australia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Tun Openg berkata, disebabkan Malaysia antara negara di dalam Komanwel, Sarawak mungkin layak menggunakan terminologi 'Parlimen' untuk badan perundangan tertingginya.

"Untuk ini Peguam Besar Sarawak akan meneliti apakah langkah terbaik mengikut perlembagaan untuk kita menukar terminologi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersesuaian dengan yang digunakan di negara Komanwel lain.

"Penggunaan terminologi itu perlu mengikut undang-undang serta bersesuaian dengan status seperti gelaran Premier (yang digunakan di Sarawak) juga digunakan di negeri-negeri di Kanada dan Australia," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Aidilfitri di kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, selari dengan usaha itu, satu jawatankuasa khas dibentuk kerajaan Sarawak bagi meneliti terminologi sesuai untuk menggantikan perkataan 'negeri' bagi DUN Sarawak.

Jelasnya, pertukaran istilah itu perlu kerana dalam pembentukan Malaysia, status Sarawak tidak sama dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Terminologi yang sesuai perlu digunakan selaras dengan status Sarawak ketika pembentukan Malaysia.

"Sarawak bukan berstatus negeri dan terminologi Dewan Undangan Negeri digunakan oleh semua negeri, tetapi pada masa ini istilah wilayah juga tidak sesuai untuk Sarawak kerana ia setaraf dengan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

"Bagi merungkai perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Peguam Besar Sarawak, Datuk Saferi Ali akan mengetuai jawatankuasa bagi meneliti terminologi yang sesuai selaras dengan undang-undang," jelasnya.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar semalam mengenai istilah 'DUN' yang digunakan ketika ini sejak 1976 perlu ditukar kepada Dewan Undangan Sarawak kerana Sarawak dirujuk sebagai wilayah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun Mohd Asfia berkata, penggunaan nama baharu bagi menggantikan terminologi DUN itu hanya akan dilakukan sekiranya mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak.

Sebelum dikenali sebagai DUN Sarawak pada 1976, badan perundangan tertinggi Sarawak yang ditubuhkan pada 8 September 1867 di Bintulu dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak (Sarawak General Council).

Pada 1903, Majlis Umum Sarawak dinamakan pula sebagai Majlis Negeri Sarawak.

DUN Sarawak adalah yang terbesar di Malaysia dengan jumlah ahlinya seramai 82 orang.
Next Post Previous Post