Sarawak rancang eksport 240,000 tan hidrogen ke Jepun, Korea pada 2028- Abang Johari

KUCHING -- Sarawak merancang untuk mengeksport 240,000 tan hidrogen ke Jepun dan Korea pada 2028, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abang Johari memberitahu, ini selari dengan hasrat Sarawak untuk menjadikan pengeluar utama tenaga bersih dan boleh diperbaharui.

"Kita akan mengeksport hidrogen sebanyak 240,000 tan ke Korea dan Jepun, manakala, untuk kegunaan domestik pula, kita akan simpan 7,000 tan hidrogen. 

"Maknanya, jika kita eksport, kita boleh mengenakan cukai jualan, ini akan menambahkan pendapatan negeri, selain itu, kita akan menjadikan pengeluar utama dari sudut tenaga boleh diperbaharui," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah tamah Aidilfitri Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di sini pada Sabtu.

Tambah Abang Johari, dengan adanya sumber tenaga hidrogen secara tidak langsung Sarawak turut bakal menjadi pemain utama dalam penjanaan kuasa menerusi hidrogen sekali gus meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak melalui cukai jualan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, banyak usaha dilakukan kerajaan dalam menyediakan insfrastruktur pembangunan dan juga ekonomi digital dalam projek-projek yang besar untuk dimanfaatkan oleh para usahawan di Sarawak.

"Jadi saya hendak mengesyorkan agar ahli-ahli kita untuk menguasai teknologi kerana tiada jalan lain, kita perlu mempunyai kemahiran dalam teknologi. 

"Tidak kira sama ada teknologi digital atau yang boleh menambah nilai kepada sumber kita. Sebab itulah ada permulaannya saya bersetuju untuk membekalkan jentera, agar ahli DUBS berjinak-jinak dengan teknologi jentera. 

"Saya sudah berikan peruntukan sebanyak RM6.5 juta kepada DUBS agar mereka boleh mengenalpasti bagaimana nak menguruskan jenteranya dan seterusnya melaksanakan projek yang melibatkan pembinaan," ujarnya.
Next Post Previous Post