Kestabilan Sarawak beri keyakinan kepada pelabur asing, tiga syarikat Korea kukuhkan komitmen H2biscus

KUCHING-- Tiga syarikat Korea kini sedang mengukuhkan komitmen untuk langkah seterusnya bagi merealisasikan projek H2biscus di Bintulu yang bakal mengeluarkan gas hidrogen dan ammonia sebagai bahan api bersih.
 
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Seoul, Korea Selatan untuk menemui para pelabur yang melihat potensi tinggi Sarawak sebagai hab tenaga hijau di rantau Asia.

“Dalam pertemuan tersebut, salah sebuah syarikat Korea berkenaan juga telah mengemukakan cadangan untuk membina sebuah fasiliti bersepadu yang berasaskan tenaga hijau.
 
“Kos projek tersebut termasuk kos-kos berkaitan dijangka mencecah 460 bilion Dolar Amerika Syarikat sehingga 2050 seperti yang saya nyatakan sebelum ini.
 
“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan saya telah menyatakan komitmen untuk memastikan projek tersebut di Bintulu akan menjadi kenyataan sebagai satu lagi program untuk terus memacu transformasi ekonomi Sarawak yang berasaskan tenaga hijau,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2024, hari ini.

Tegas Abang Johari ini antara usaha yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menarik kolaborasi pihak asing untuk melabur di Sarawak.

Selain itu, beliau memberitahu, delegasi Sarawak yang diketuainya akan mengadakan pertemuan bersama syarikat-syarikat antarabangsa dari negara-negara Arab yang ingin bekerjasama dengan Sarawak dalam industri hijau.
 
Tambahnya, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) melalui duta besar masing-masing juga telah berkunjung ke Sarawak dan menyatakan kesediaan mereka untuk berkolaborasi dalam bidang yang sama.
 
Beliau yakin bahawa sekiranya semua projek tersebut serta projek-projek lain menjadi kenyataan menjelang 2030, maka rakyat Sarawak akan berpeluang untuk menikmati pekerjaan yang memberikan gaji yang lumayan sekali gus melengkapkan status Sarawak sebagai kawasan yang maju dan berpendapatan tinggi.
 
Jelasnya lagi, sekarang sudah ada beberapa program dan projek pembangunan yang dicadangkan sehingga 2050 yang akan terus memastikan kemajuan Sarawak akan berkekalan selepas 2030.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kuasa yang diperolehi kerajaan Sarawak daripada kerajaan persekutuan bukan bergantung kepada nasib kerana hubungan antara kedua-dua kerajaan didasari oleh peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan IGC (‘Inter-Government Committee Report’) yang menjadi asas kepada penubuhan Malaysia.
 
“Beberapa kuasa yang diberi kepada Sarawak pada kebelakangan ini, termasuk penyerahan Pelabuhan Laut Dalam dan pengedaran gas kepada Sarawak adalah kuasa-kuasa yang terhakis dan harus dikembalikan kepada Sarawak.
 
“Kerajaan GPS akan terus mengadakan perundingan dengan kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan semula hak Sarawak yang telah terhakis,” tegasnya.

Mengenai perayaan Gawai Dayak, Abang Johari berharap agar masyarakat Dayak memanfaatkan sambutan Gawai Dayak untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti masyarakat tersebut.
 
“Saya menyeru agar masyarakat Dayak merobohkan segala tembok dari segi kekangan pemikiran untuk menjadi kaum yang progresif dan dinamik di era yang penuh dengan cabaran tetapi sarat dengan peluang ke arah kemajuan,” ujarnya lagi.
 
Beliau menjelas lanjut, Sarawak berada pada landasan yang tepat ke arah matlamat menjadi wilayah yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan GPS.

Gambar Kredit UKAS
Next Post Previous Post