Pelbagai inisiatif dilaksana, dirancang pastikan kesejahteraan rakyat Sarawak

KUCHING-- Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai inisiatif dan program yang telah dan akan dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Jelas beliau, di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) memfokuskan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar adalah panduan dalam Sarawak merangka ke arah status wilayah maju dengan persekitaran mampan yang dipacu oleh data dan inovasi menjelang 2030. 

Tambahnya, infrastruktur asas dan pengangkutan perhubungan udara dan laut serta sistem telekomunikasi juga akan terus dipertingkatkan.

"Selain itu, pendidikan dan pembangunan bakat melalui sistem pendidikan dan latihan yang terbaik untuk memacu ekonomi digital demi untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup masyarakat kita," katanya dalam Perutusan Gawai Dayak 2024, hari ini. 

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata kerajaan juga sedang giat membangunkan ekonomi baharu terutamanya ekonomi hijau. 

Ini katanya selaras dengan perkembangan dan hala tuju global dalam menangani perubahan iklim dan pemanasan global seperti mana yang digariskan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

Justeru, beliau berharap agar semua sedar bahawa bekerjasama dan berganding bahu adalah kunci ke arah kejayaan yang diimpikan. 

"Marilah kita terus mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat kita agar kita dapat terus bersama maju ke hadapan 'Segulai Sejalai'," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian memberitahu sambutan perayaan Hari Gawai Dayak memainkan peranan yang penting dalam aspirasi Sarawak menjadi negeri yang harmoni.

"Walaupun perayaan Gawai Dayak disambut oleh komuniti Dayak, orang Sarawak tidak mengira kaum akan meraikannya.

"Ini merupakan tradisi Sarawak yang terbaik dalam mengekalkan semangat perpaduan dalam masyarakat dan juga bahagian yang penting dalam pembangunan negeri.

"Memandangkan kita sedang menuju ke tahun 2030 di mana Sarawak berhasrat menjadi negeri yang makmur, inklusif dan mampan alam sekitar, Hari Gawai Dayak amat penting dalam objektif ini,” ujarnya dalam perutusan Hari Gawai Dayak 2024, hari ini.

Justeru, beliau mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai Dayak kepada masyarakat di Sarawak.
Next Post Previous Post