12,850 botol minuman keras cuba dibawa masuk tanpa kelulusan ke Sarawak digagalkan

KUCHING-- Cubaan membawa masuk 12,850 botol minuman keras disyaki wain pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM490,650, tanpa kelulusan di sini pada 17 April lalu berjaya dipatahkan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Norizan Yahya berkata, kejayaan itu menerusi Cawangan Operasi, Marin, Khidmat Sokongan dan Penguatkuasaan ABT, Unit Operasi Darat Kuching JKDM Sarawak dengan kerjasama Zon Risik Sarawak JKDM Sarawak.

"Pada 17 April lalu sekitar jam 10.40 pagi, pasukan telah berjaya mematahkan cubaan membawa masuk minuman keras disyaki Wain pelbagai jenama tanpa Kelulusan Had Gerakan seperti yang telah ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Pemindahan)(Pindaan) 2022.

"Sebanyak 12,850 botol minuman keras yang dianggarkan bernilai RM490,650.00 dan melibatkan anggaran jumlah duti dan cukai bernilai RM324,148.88 dirampas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya, sepasukan Unit Operasi Darat Kuching telah menahan sebuah kontena di Customs Examination Area (CEA) Pelabuhan Senari, Kuching, Sarawak untuk tujuan tindakan lanjut pemeriksaan rapi ke atas kandungan kontena tersebut.

"Hasil pemeriksaan rapi fizikal ke atas kandungan kontena berkenaan, pasukan
telah menjumpai kotak-kotak mengandungi botol-botol pelbagai jenama berisi
cecair disyaki minuman keras jenis wain sementara hasil pemeriksaan ke atas
dokumen sokongan dan chit borang pengikraran elektronik mendapati barangan berkenaan tidak diikrarkan dengan betul sepertimana yang telah ditetapkan dan terdapat juga beberapa barangan yang tidak mempunyai Kelulusan Had Gerakan seperti yang telah ditetapkan bagi produk minuman keras," katanya.

Tambah Norizan, seterusnya kontena bersama barangan telah disita untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana telah membuat pengikraran yang tidak betul dan Seksyen 138 akta yang sama kerana gagal mematuhi Perintah Kastam (Larangan Pemindahan)(Pindaan) 2022.

Mengulas lanjut tentang modus operandi, beliau memberitahu, minuman keras tersebut dibawa masuk bersama barangan yang mempunyai kelulusan dan membuat pengikraran secara umum tanpa memperincikan setiap barangan seperti yang telah ditetapkan agar tidak dikesan oleh pihak berkuasa.

Susulan itu, tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 7 tahun atau kedua-duanya.

"Manakala untuk kesalahan di bawah Seksyen 138 akta yang sama, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dadah dan barangan yang lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. 

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. 

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan
menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan
menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam
yang terdekat di semua negeri. 

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," tambahnya.
Next Post Previous Post