Pembinaan Jambatan Bintulu Jepak semakin rancak

BINTULU— Pembinaan dan penyiapan Jambatan Bintulu Jepak merentasi Batang Kemena semakin rancak dengan pemasangan terakhir kabel penahan di jambatan itu semalam.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam Facebook semalam, projek jambatan bernilai lebih RM466 juta dengan panjang kira-kira 1.2 kilometer (km) ini sudah semakin menghampiri tarikh siap dijangka Oktober atau lebih awal tahun ini.

Projek jambatan itu yang sudah mencapai 74.18 peratus kemajuan pembinaan setakat Februari ini menggunakan teknologi cable-stayed bridge atau jambatan kabel penahan, ia dilengkapi struktur perparitan, pemasangan lampu jalan dan kelengkapan jalan.

Sebelum ini, projek tersebut mengalami sedikit kelewatan kerana isu kekurangan pekerja, namun ia berjaya ditangani oleh kerajaan negeri.

Apabila siap, ia akan mempunyai empat empat lorong dua hala termasuk pembinaan jejambat yang menghubungi Jalan Ahmad Zaidi/Jalan Tun Razak/Jalan Abang Galau  dengan sebuah jalan penghubung yang dianggar sepanjang 3.5 km.

Di sini juga bakal didirikan lif menegak untuk memudahkan orang ramai menyaksikan panorama menarik selain dihiasi lampu hiasan untuk yang akan menjadikan jambatan ini mercu tanda paling ikonik di Bintulu.
Projek ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat Bintulu khususnya kerana ia akan memendekkan perjalanan melalui jalan pesisir Jepak ke Lapangan Terbang Bintulu kepada 15.6km berbanding sekarang 22 km, seterusnya ke Kuala Tatau, Serupai, Balingian hingga ke Mukah. 

Pada masa yang sama merancakkan pembangunan di kawasan Jepak dan pesisir di sepanjang laluan.

Untuk rekod, projek ini telah bermula pada 3 April 2019 dengan tempoh masa untuk menyiapkannya ialah 48 bulan dan dijangka siap pada penghujung 2023.

Bagaimanapun projek itu mengalami kelewatan berikutan penularan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Terdahulu, Pengarah Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Ir. Ts. Richard Tajan, bersama rombongan telah mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan dan penyiapan Jambatan Bintulu-Jepak yang merupakan sebahagian Projek Pembinaan dan Penyiapan Jalan Pesidir Pantai Pakej 5 (P05). 

Tujuan lawatan tersebut adalah bagi memantau perkembangan projek pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak sepanjang 1.2 KM jenis (Cable Stayed Brige) dan jalan raya sepanjang 3.5km yang direkabentuk mengikut piawai JKR U5 merentasi Kuala Kemena. 

Beliau turut berkesempatan menyaksikan pemasangan kabel penahan terakhir di East Tower Jambatan Jepak.


Gambar ihsan FB JKR Sarawak
Next Post Previous Post