Kembalikan semula maruah Kampung Datu Lama

SIBU— Pembangunan semula Kampung Datu Lama penting bagi mengembalikan martabat dan maruahnya sebagai perkampungan tradisional Melayu asal di bandar Sibu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ketika ini keadaan kampung tersebut dalam keadaan yang amat menyedihkan.

“Bukan dalam keadaan sekarang di mana orang kampung hidup dalam (rumah) yang berhimpit kerana terlalu berdekatan, bergelut dan bersesak. Adakah ini kita namakan maruah?

“Sebagai kampung tradisional yang melambangkan kaum Melayu di sini, menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan kampung ini agar ia lebih bermaruah dan tinggi martabat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat berkata, kerajaan Sarawak tahun lepas sudah meluluskan pelan induk untuk pembangunan semula Kampung Datu.

“Baru-baru ini Premier Sarawak sudah memberi jaminan bahawa Kampung Datu Lama akan dibangunkan dengan mengekalkan trasidi warisan Melayu. Terima kasih Premier,” katanya lagi.

Ahad lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Kampung Datu akan dibangunkan dengan infrastruktur jalan raya, tebingan sungai, perumahan dan pembinaan sebuah konvensyen.

Beliau berkata, perkara itu sudah dipersetujui melalui perbincangan bersama pemimpin-pemimpin Sibu.

“Kita akan modenkan Kampung Datu dan pada masa yang mengekalkan ciri-ciri budaya orang Melayu yang melambangkan keunikannya.

“Kita akan bangunkan kawasan dari Masjid An-Nur hingga ke tebing Sungai Igan yang bakal dibangunkan dengan kampung dan rumah moden yang lebih selamat dan selesa.

“Kalau pembangunan Darul Hana di Kuching boleh dibuat, saya yakin pembangunan semula Kampung Datu di Sibu pun boleh dibuat

“Tebingan Sungai Igan pula akan dicantikkan dengan pembinaan tebingan sebuah pusat konvensyen berhampiran,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini.

Katanya, kampung asal Sibu ini juga akan dihubungkan dengan Kemuyang melalui pembinaan jalan raya baharu sepanjang 15 kilometer.

Abang Johari berkata, pembangunan ini akan membolehkan Kampung Datu menjadi sebuah perkampungan yang baharu untuk kawasan Nangka.

Sementara itu, usaha memelihara Kampung Datu ini sudah diperjuangkan sejak beberapa tahun lalu berikutan banyak perkampungan tradisional Melayu asal di bandar Sibu telah pupus bagi memberi laluan untuk pembangunan.
Next Post Previous Post