MOTS minta syarikat penerbangan tambah jumlah penerbangan atau guna pesawat lebih besar

KUCHING -- Syarikat penerbangan disarankan menambah jumlah penerbangan atau mengguna pesawat lebih besar untuk membawa penumpang yang terjejas akibat insiden gunung berapai yang meletus, Gunung Ruang di Manado, Sulawesi, Indonesia.

Perkara ini disuarakan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pihaknya yakin ramai penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan baru-baru ini menunggu penerbangan mereka dijadualkan semula.

Beliau memberitahu, hal ini kerana kebanyakan jadual penerbangan sedia ada sudah penuh ditempah kerana musim perayaan. 

"Oleh itu, kita di pihak kementerian menasihat agar syarikat penerbangan menambah jumlah penerbangan atau menggunakan pesawat yang lebih besar untuk menangani isu ini.

"Pada masa sama kita menasihatkan penumpang yang terjejas supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini dan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Letusan Gunung Ruang di Indonesia sebelum ini telah menyebabkan penerbangan ke Sarawak dan Sabah dibatalkan pada Khamis lalu.

Berikutan itu, ramai penumpang terjejas dan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Dalam pada itu, amaran bahaya abu gunung berapi di Sulawesi Utara, Indonesia telah mengakibatkan pembentukan awan abu bergerak ke arah FIR Kota Kinabalu, menimbulkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara Pulau Borneo, sekali gus secara langsung memberi kesan kepada operasi penerbangan ke Sarawak dan Sabah.

Susulan kejadian itu mendorong Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memberi amaran dan membatalkan kebanyakan operasi penerbangan ke Sabah dan Sarawak pada Khamis.

“Insiden adalah bencana alam, namun ia telah menyebabkan kesulitan dan kekecewaan kepada kebanyakan penumpang, tetapi kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan rakyat dan penumpang.

"Bagaimanapun CAAM menyatakan ramalan menunjukkan awan abu gunung berapi telah mula bersih sekitar jam 7 malam dari sekitar wilayah Sarawak dan bersih sepenuhnya di seluruh Borneo mulai jam 10 malam Khamis," tambah Lee.

Pada masa sama beliau memberitahu, keadaan telah bertambah baik dan syarikat penerbangan berkaitan menyambung semula operasi penerbangan mereka ke Sabah dan Sarawak bermula seawal jam 7 malam Khamis.

Menurutnya lagi, kawalan trafik udara di Sarawak dan Sabah telah diarah melanjutkan waktu operasinya bagi memudahkan pemulihan. 

“Namun, CAAM menasihatkan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat agar sentiasa memantau kemas kini meteorologi, nasihat dan maklumat berkaitan abu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Justeru, beliau memberitahu Kementerian Pengangkutan Malaysia dan MOTS akan terus memantau keadaan dengan teliti, bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, CAAM, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat penerbangan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang dijaga.
Next Post Previous Post