3 lelaki maut, motosikal ditunggang terbabas lalu tercampak ke laluan bertentangan di Jalan Sultan Iskandar awal pagi tadi.

BINTULU -- 3 lelaki menemui maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas lalu tercampak ke laluan bertentangan di Jalan Sultan Iskandar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, dalam insiden sekitar jam 4.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang bergerak dari arah lampu isyarat Batu 2 menghala ke kawasan pasar lama Bintulu.

"Sampai di selekoh lampu isyarat JKR, motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan di Jalan Sultan Iskandar," jelasnya.

Pemeriksaan yang dijalankan pasukan perubatan KKM mengesahkan kesemua mangsa yang berusia 20 dan 21 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post