Zon Maritim Tanjung Manis menahan dua buah bot nelayan tempatan disyaki melanggar syarat lesen

TANJUNG MANIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan dua buah bot nelayan tempatan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen seperti yang termaktub dalam Akta Perikanan 1985 sekitar jam 11:00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Anak Numpang berkata, tangkapan ini adalah hasil komitmen dan kesungguhan Zon Maritim Tanjung Manis dalam usaha menguatkuasakan undang-undang di perairan Maritim Malaysia.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua buah bot nelayan tempatan berkenaan mendapati, masing-masing dikendali oleh seorang tekong dan dua orang awak-awak warga tempatan berusia lingkungan 21 hingga 57 tahun.

Kedua-dua buah bot nelayan tempatan tersebut seterusnya dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk tindakan lanjut. 

Maritim Malaysia menyarankan kepada semua komuniti maritim agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan penyaluran maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim setempat.

Laporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dilaut dan kegiatan yang mencurigakan termasuklah kes-kes kecemasan/kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 yang beroperasi 24 jam.
Next Post Previous Post