Seorang maut, dua cedera kemalangan MPV di Jalan FAC Matang

KUCHING-- Seorang maut manakala dua cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova di Jalan FAC Matang dekat sini malam tadi.

Dalam kemalangan sekitar jam 8.30 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Lai Nyuk Loi, 54, yang merupakan pengusaha warung makanan beralamat di Matang Jaya.

"Polis melalui Bilik Gerakan Padawan menerima panggilan berhubung kemalangan ini sekitar jam 9.30 malam daripada orang awam.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan jalan raya kendiri tersebut berlaku pada jam 8.30 malam melibatkan sebuah kenderaan MPV yang dipandu mangsa bersama dua penumpang di sekitar Jalan FAC Matang selepas simpang Kampung Selang Ulu," katanya Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kemalangan berlaku apabila MPV yang dipandu mangsa bergerak dari arah Jalan Sampadi hendak menghala ke arah Kuching.

"Sampai di Jalan FAC Matang, tiba-tiba MPV yang disyaki dipandu laju oleh mangsa hilang kawalan lalu menyebabkannya terbabas dan terjunam ke dalam parit di bahu kiri jalan sebelum berpusing dan terbalik ke dalam kawasan parit. 

"Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak sekitar jam 9.33 malam," katanya.

Jelasnya, manakala seorang lelaki berusia 65 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun, yang merupakan penumpang kenderaan tersebut cedera dan masih menerima rawatan Wad Kecemasan Hospital Umum Sarawak.

Mengulas lanjut, Lim berkata, cuaca masa kejadian adalah baik, jalan raya kering manakala kawasan jalan raya adalah lurus dan kadar penglihatan adalah gelap tanpa lampu.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, katanya polis sedang mengesan saksi bebas yang dapat membantu siasatan.
Next Post Previous Post