Datuk dan nenek mendiang Joanna sebak kehilangan cucu kesayangan

SERIAN-- Datuk dan nenek kepada anak Sarawak, mendiang LK I JJM Joanna Felicia Rohna yang merupakan antara 10 korban nahas dua helikopter yang bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pagi tadi tidak dapat menahan sebak apabila mendengar perkhabaran sedih tentang kematian cucu kesayangan mereka.

Rindung Milo dan Tumbo Usen, kedua-dua kini sudah berusia 65 tahun menitis air mata kesedihan ketika berkongsi kisah duka tentang cucu perempuan mereka itu ketika ditemui pemberita Borneo Network di kediaman di Kampung Sumpas, Tampek Jalan Batu 11, Serian, hari ini, terletak 118 kilometer dari Kuching.

"Kami jaga dia sejak kecil lagi, dari sekolah hinggalah dia dapat bekerja (sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia). Dia sering pulang ke kampung menziarah kami di sini. 

"Kami tidak menjangka pemergian dia untuk bekerja adalah hari dia pergi tinggalkan kami buat selama-lamanya," kata pasangan itu.

 Pasangan warga emas itu juga memaklumkan mendiang cucunya itu juga seorang yang mengambil berat tentang keluarga.

"Dialah yang memberikan kereta untuk kami gunakan di sini dan sekarang dia sudah tiada lagi," kata mereka sambil menitis air mata mengenang nasib sedih yang menimpa mereka di atas pemergian cucunya itu.

Pasangan itu juga memberitahu kedua-dua ibu bapa mendiang Joanna sudah berangkat ke Kuala Lumpur (KL) bagi pengurusan jasad mendiang. 

"Ibu dan bapa mendiang sudah terbang ke KL selepas dijemput TLDM sekitar jam 3 petang tadi," jelas mereka.

Awal pagi tadi, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, yang mengorbankan 10 pegawainya.

Antara mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Mangsa yang terkorban dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Sementara itu, Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian membabitkan helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan helikopter FENNEC TLDM.

Kata kenyataan itu, kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.

Dalam kejadian 9.30 pagi, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas.

Sehubungan itu, TLDM memohon orang ramai supaya tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses siasatan.
Next Post Previous Post