Anjing Pengesan Bomba Digerakkan Bantu Cari Mangsa Dibaham Buaya Di Sungai Rayu

KUCHING--Unit K9 Bomba menggunakan anjing pengesan turut digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas yang dikhuatiri dibaham buaya ketika keluar mencari lokan di Sungai Rayu, Jalan Selang, di sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pencarian di permukaan air giat dijalankan dengan jarak satu kilometer ke hulu dan ke hilir dari lokasi terakhir mangsa dikhuatiri hilang.

"Operasi sebelah petang pula turut dihadiri Unit K9 Bomba dengan keluasan pencarian ditambah kepada tiga kilometer ke hulu dan ke hilir sungai.

"Operasi SAR hari pertama hari ini yang bermula pagi tadi dihentikan jam 6.30 petang berikutan cuaca mulai gelap masih gagal menjumpai mangsa. Operasi akan disambung semula esok hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian semalam, mangsa dikenali Minu Kin, 79, keluar dari rumah mencari lokan di kawasan Sungai Rayu jam 8 pagi tadi.

Pihak bomba menerima laporan berhubung kes itu jam 1.55 tengah hari dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.

"Mangsa dilaporkan telah keluar bersama dengan anak saudaranya bernama Jimmy untuk mancari lokan.

Menurut saksi, iaitu anak saudara mangsa, kemungkinan mangsa telah dibaham buaya kerana terdapat kesan darah dan kesan tapak kaki telah dijumpai. 
Next Post Previous Post