180 Klinik Kesihatan di Sarawak daif-Dr Sim

KUCHING-- Kira-kira 180 Klinik Kesihatan (KK) di Sarawak dikategorikan daif, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, jumlah itu daripada 271 KK yang ada di negeri ini.

"180 daripada 271 iaitu 66.4 peratus KK (di Sarawak adalah) daif.

"Jika anda berpandangan sekolah daif di Sarawak memerlukan banyak dana, KK dan hospital daif di Sarawak memerlukan empat kali ganda dana tersebut.

"Sekolah hanya melibatkan bangunan dengan bilik darjah pintar tetapi klinik dan hospital bukan sahaja memerlukan bangunan tetapi juga peralatan perubatan yang mahal," katanya.

Tambahnya, meskipun Sarawak masih diliputi hutan di Borneo, ia bukan menjadi alasan untuk tidak memiliki peralatan perubatan terkini dan canggih.

"Selepas 60 tahun Malaysia, Sarawak boleh melakukan dengan lebih baik di bawah Autonomi Kesihatan (penurunan kuasa dan sana daripada kerajaan persekutuan)

"Sarawak bersedia. Harapan kita KL (kerajaan pusat) juga bersedia kerana ia memerlukan keberanian kepimpinan persekutuan.  

"Ia akan menjadi keputusan politik dan bukannya Pengurusan Tertinggi KKM mengikut keputusan Perkhidmatan Awam Persekutuan kerana selama 60 tahun, anda telah mencuba yang terbaik tetapi masih gagal," tegasnya.

Jelas Dr Sim, sudah tiba masanya menggunakan pendekatan baharu untuk Sarawak yang diharap menjadi ikutan kepada negeri-negeri lain. 

Mengenai hospital, beliau memberitahu Hospital Rajah Charles Brooke sudah berusia lebih 90 tahun dan perlu dibina baharu atau dinaik taraf.

"Hospital ini dibina pada tahun 1925 dan sebab itu ia perlu dinaik taraf jika tidak dibina baharu," katanya.

Selain hospital itu, katanya Hospital Kapit, Hospital Marudi dan Hospital Lundu yang dibina pada tahun 60-an juga perlu dinaik taraf.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, 
Sarawak belum mempunyai Hospital Kanser, Hospital Wanita & Kanak-Kanak, Hospital Rehabilitasi, kemudahan pusat trauma yang tidak mencukupi.

Menurutnya, ia keperluan segera dengan siapnya Pan Borneo dan tidak lama lagi Lebuhraya Pesisir/Jalan Utama Kedua.

Terdahulu, Dr Sim mengadakan perbincangan bersama kementeriannya dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam membuat persiapan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai "Sarawak membiayai projek Kesihatan dan Pendidikan persekutuan untuk mempercepatkan pelaksanaan".

"Semoga ini akan lebih formal dengan adanya kertas kabinet dan diluluskan oleh kabinet Malaysia tidak lama lagi, menjadikannya keputusan kerajaan Malaysia secara hitam putih dan bukannya hanya pengumuman PM," ujarnya.
Next Post Previous Post