Subsidi bersasar, M40 paling terjejas - penyelidik

KUALA LUMPUR— Rakyat berpendapatan sederhana atau M40 dijangka golongan paling terjejas dengan perlaksanaan subsidi bersasar berbanding B40 yang terus mendapat pelbagai bantuan kerajaan, dedah Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata, sebahagian golongan ini tidak lagi menikmati subsidi bahan api apabila program kerajaan itu dilaksanakan kelak.

“Rakyat M40 perlu berbelanja lebih terutama untuk bahan api yang pastinya memberi kesan terhadap kewangan mereka.

“Sebaliknya, rakyat B40 dijangka berterusan mendapat bantuan wang tunai selain menikmati pelbagai subsidi termasuk subsidi bahan api,” menurut penyelidikan itu lapor Dagang News.

Kenanga Research menambah, kesan subsidi bersasar kepada mereka yang berpendapatan tinggi pula dilihat minimum.

Katanya, kesan inflasi dan kenaikan tarif air dan elektrik di samping kenaikan cukai perkhidmatan 8 peratus meliputi rangkaian perkhidmatan yang lebih luas turut memberi impak terhadap peningkatan kos sara hidup.

“Walaupun kenaikan bahan api belum berlaku, namun pengguna harus berhemah dalam perbelanjaan sehingga awal 2025,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dipetik berkata, kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar pada suku kedua ke atas, dengan pemberian subsidi bersasar dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan dipertimbangkan.

Beliau berkata, kerajaan perlu menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion sebulan bagi kos subsidi petrol, sekiranya terus menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar.

"Kalau kita lanjutkan, itu bermakna kita akan terus menolak garis masa pelaksanaan ke belakang dan kesan penangguhan subsidi bersasar ini, menyebabkan kerajaan kena tanggung subsidi petrol pukal kira-kira RM2 bilion sebulan.

"Lebih baik jika RM2 bilion ini, disalurkan dalam bentuk bantuan kepada keluarga yang layak,” katanya.
Next Post Previous Post