Zon Utara Kini Berdepan Cuaca Kering, Waspada Pembakaran Terbuka

SPAOH--Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri diminta berwaspada sebarang kejadian kebakaran belukar atau kebakaran terbuka di kawasan itu berikutan cuaca kering pada masa GTI sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, zon utara meliputi  Bintulu, Miri, Limbang kini berdepan cuaca kering dan kemarau. 

"Sebarang kebakaran belukar atau pembakaran terbuka boleh menyumbang kepada jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan semua. 

“Jadi saya harap semua akan memberi kerjasama untuk manfaat bersama, kini kita mempunyai teknologi untuk memantau keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan geran berjumlah RM414,800 daripada beliau dan Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu kepada sebuah masjid, sembilan surau dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini, semalam.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) misalnya boleh menggunakan dron untuk menentukan lokasi. 

"Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kumpulan pemadam kebakaran sukarelawan lain kemudian boleh melakukan bahagian mereka untuk memadamkan kebakaran seperti itu.

"Sekiranya semua pihak termasuk petani dan orang ramai memberikan kerjasama sepenuhnya kejadian jerebu dapat dielakkan seperti tahun lepas," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kontraktor Bumiputera kelas C hingga E yang ingin meningkatkan kemahiran mereka boleh menyertai program khas di bawah Kerajaan Sarawak.

Katanya, mereka yang berminat boleh mendaftar diri di Pejabat Residen berdasarkan alamat pendaftaran perniagaan masing-masing.

"Selepas itu pihak Pejabat Residen akan memajukan permohonan tersebut ke jawatankuasa khas di Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak.

"Mereka yang terpilih akan diberi latihan, bantuan kewangan dan peralatan-peralatan tertentu sekiranya mereka mendapat projek," jelasnya.

Katanya, ini merupakan satu lagi langkah positif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membantu kontraktor Bumiputera.
Next Post Previous Post