Wanita rugi RM18,090 ditipu "Andy Lau"

MUKAH -- Seorang wanita berusia 25 tahun yang merupakan pegawai syarikat tempatan kerugian sebanyak RM18, 090 selepas ditipu dalam urusan pembelian sebuah 4WD yang diiklankan dalam Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tertarik dengan satu iklan jualan sebuah 4WD, mangsa telah menghubungi nombor telefon dalam iklan terbabit dan berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Andy Lau.

"Mangsa kemudiannya menyatakan minat untuk membeli sebuah 4WD model Mitsubishi Triton yang ditawarkan suspek dengan harga RM28, 900," ujarnya. 

Mangsa yang setuju dengan pembelian kemudiannya diarah suspek bagi melakukan pembayaran kononnya untuk urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan dan insurans kenderaan.

Selepas melakukan pembayaran sebagaimana diarah suspek, mangsa telah dihubungi seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Ryan bagi urusan pembayaran kos penghantaran kenderaan.

Mangsa katanya melakikan 5 kali transaksi pemindahan wang ke atas empat akaun atas nama individu beebeza antara 19 Januari hingga 23 Februari yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM18, 090.

Suspek katanya hanya menyedari yang beliau menjadi mangsa penipuan apabila suspek masih lagi meminta pembayaran bagi pelbagai tujuan.

Mangsa yang merasa ditipu kemudiannya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Muhamad dalam masa sama menasihatkan orang awam agar tidak terpengaruh dengan sebarang iklan barangan atau produk dengan harga murah dan membuat semakan kewujudan perniagaan sebelum melakukan pembayaran.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam membuat urusan pembelian barangan yang ditawarkan dalam talian dan perlu bijak mengenalpasti peniaga yang diyakini menerusi platform online sebelum memuktamadkan sebarang pembelian," ujar beliau.

Orang ramai katanya boleh membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberikan kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my /BNM Telelink 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia),
www.sc.com.my / dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (603) 62048999.
Next Post Previous Post