Isu asrama SMK Tebedu: Bukan bilik asrama tetapi stor simpan tilam dan bantal untuk dilupuskan

SERIAN-- Gambar-gambar tular yang dikatakan keadaan bilik asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tebedu yang daif bukanlah bilik asrama untuk pelajar tetapi bilik stor penyimpanan tilam-tilam usang yang mahu dilupuskan.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem yang memberitahu beliau sendiri telah turun padang melawat sekolah berkenaan hari ini bagi mengetahui lebih lanjut keadaan sebenar asrama berkenaan.

"Susulan daripada apa yang ditularkan melibatkan tilam di asrama SMK Tebedu, saya telah mengadakan lawatan untuk meninjau sendiri keadaan yang sebenarnya.

"Setelah diberi taklimat dan melihat sendiri akan keadaan di asrama tersebut, saya dapati ia tidak seperti apa yang ditularkan iaitu tilam yang telah reput. 

"Ini kerana gambar yang ditularkan itu merupakan gambar tempat dimana tilam-tilam lama disimpaan sebelum dilupuskan," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Jelas Riot lagi, gambar seperti yang ditularkan iaitu tilam yang telah reput bukanlah gambar di asrama atau untuk kegunaan asrama. 

"Akan tetapi ia adalah gambar di setor yang merupakan tempat untuk penyimpanan barangan untuk dilupuskan," tambahnya.

Turut bersama beliau dalam sesi lawatan tersebut adalah Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Zamzaitul Akmal Hisham, Pegawai Pendidikan Daerah Serian Bunsie Tuntom, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw serta Ketua-ketua Masyarakat yang terdiri daripada Penghulu dan Ketua-ketua Kaum.

Terdahulu, seorang bapa menerusi Facebooknya berkongsi tangkap layar mesej dan gambar yang dihantarnya kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkaitan keadaan asrama anak lelakinya yang daif.

Gambar tersebut menggambarkan kain yang membaluti tilam koyak rabak, sebahagian daripada isinya juga berlubang dan terburai termasuk juga bantal buruk dan busuk yang sudah bertukar warna.

Lelaki itu juga mengaku terkejut apabila melihat keadaan bilik asrama yang dihuni dua anak lelakinya yang berada di Tingkatan Satu dan Tiga.
 
Pada masa itu, katanya ibu bapa dibenarkan masuk untuk memeriksa keadaan asrama semasa pendaftaran pelajar.
Next Post Previous Post