"Tiada Pencen" untuk kakitangan awam Sarawak baháru

KUCHING-- Kakitangan perkhidmatan awam Sarawak yang baharu akan diambil di bawah skim Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) mulai tahun ini, mengikut langkah yang diambil Kerajaan Persekutuan.

Ini bermakna mereka akan mencarum dalam skim persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak akan menerima pencen bulanan daripada kerajaan selepas bersara.

Memetik laporan New Sarawak Tribune, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, mereka yang diambil di bawah JBC akan menikmati jawatan tetap serta faedah sama seperti mereka di bawah skim pencen tradisional, seperti faedah perubatan dan perumahan.

“Langkah strategik ini sebagai cara baharu melakukan sesuatu yang bertujuan memodenkan perkhidmatan awam Sarawak.

“JBC memberikan lebih fleksibiliti kepada penjawat awam yang ingin meneruskan kerjaya mereka di tempat lain dan juga menggalakkan lebih ramai individu muda dan profesional untuk berkhidmat dalam Kerajaan Sarawak,” katanya.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Jeniri Amir, Ketua Pengarang New Sarawak Tribune Aden Nagrace, Editor Eksekutif Rohana Wahed dan Pengurus Kanan Perniagaan Korporat Bahagian Dorge Rajah, di Wisma Bapa di sini, şemalam.

Katanya, jika dilihat skim pencen di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), penjawat awam tidak akan menerima apa-apa jika mereka mahu meninggalkan perkhidmatan awam sebelum usia persaraan.

“Kadang-kadang (skim) ini meletakkan mereka dalam situasi yang sukar, terutama apabila mereka mendapat tawaran yang lebih baik daripada sektor korporat.

"Mereka perlu mengorbankan skim pencen mereka jika mereka ingin berpindah ke sektor korporat untuk kemajuan kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Justeru, katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan semua pengambilan baharu diambil bekerja di bawah JBC, yang akan menarik lebih ramai bakat muda kerana mereka bebas pergi (meninggalkan perkhidmatan awam) pada bila-bila masa.

Pada 8 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian semula Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang membabitkan skim gaji baharu perkhidmatan awam, sedang di peringkat akhir.

Beliau menyatakan kemas kini SSPA yang telah lama ditunggu-tunggu dijangka diumumkan sebelum akhir tahun ini, berikutan tempoh sedekad gaji tidak stabil untuk kakitangan awam.
Next Post Previous Post