Jejaka Sarawak ini pernah bikin gempar berfoto dengan dua isteri
KUCHING-- Isu jejaka Sarawak berkahwin dua dan majlis persandingannya turut ditemani isteri pertama bukan sesuatu yang baharu di negeri ini.
Situasi ini pernah tular pada 2021 apabila jurufoto pasangan raja sehari tersebut melalui akaun Facebook Mohamad Muhidin memuat naik 18 gambar lelaki berkenaan bersama dua isteri di hari bahagianya.
Hantaran Mohamad Muhidin ini telah dikongsi lebih 2,500 kali di Facebook dan turut mendapat balasan dari isteri kedua yang merupakan pengantin perempuan di majlis tersebut.
"Bismillahirrahmannirrahim, alhamdulillah. Doakan semoga kami bahagia kekal hingga ke jannah. Naik pelamin dengan akak madu Mazlinah Tahaau. Semoga kita bahagia bersama suami tercinta Jafarrudin Morni," tulis pemilik akaun Facebook Sieytha Rieytha, juga isteri kedua kepada jejaka tersebut.
Memetik laporan Siakap Keli, isteri pertama, Mazlinah Tahaau dipetik berkata, mereka bukanlah bernikah serentak.
Dia hanya turut serta dalam sesi penggambaran suami bersama madunya sebagai tanda kenang-kenangan.
Tambah wanita berkenaan, majlis tersebut dijalankan pada 2 Disember 2020 di Majma Mall Kuching, Sarawak.
Dan pada semalam, kisah pemuda kahwini dua gadis dicintai di Kuching kembali menjadi topik hangat di media sosial.
Kali ini tentang kisah penjual mi kolok, Lim Soon Kien yang melangsungkan perkahwinannya dengan dua gadis idaman hatinya.
Difahamkan Lim meraikan majlis perkahwinannya di salah sebuah restoran di sini Isnin, mendapat perhatian orang ramai kerana dia mengahwini dua pengantin wanita Ivy Ong dan Dewi Kartika pada satu majlis yang sama.
Malah, dia turut meraikan malam bulan madunya bersama kedua-dua isterinya dalam bilik yang sama.
Dalam majlis itu, Lim bersama dua pengantin wanita dilihat mengenakan pakaian pengantin serba putih selain mengikut tradisi perkahwinan kaum Cina disaksikan rakan-rakan dan saudara mara.
Susulan hantaran yang dimuat naik Borneo Network pagi semalam, berita tentang perkahwinan itu kini hangat diperkatakan.
Setakat ini hantaran itu mendapat lebih 7,000 likes dan dikongsikan lebih 9,000 netizen.
Malahan, ada yang mempersoalkan perkahwinan itu sama ada sah atau tidak memandangkan negara ini hanya membenarkan pasangan bukan Islam berkahwin dengan satu isteri sahaja di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Tetapi negara kita hanya membenarkan satu isteri saja (untuk lelaki bukan Islam). Isteri pertama yang melafazkan sumpah perkahwinan itulah isteri pertama dan sah," kata netizen.
Selain itu, netizen juga sempat berseloroh agar kisah penjual mi kolok ini menjadi contoh buat lelaki hidung belang.
"Yang ini baru tabik hormat tak kahwin dua sembunyi-sembunyi. Selamat pengantin baru," kata netizen sambil berseloroh menasihatkan pelakon dan penyanyi tanah air, Aliff Aziz agar mengikuti jejak penjual mi kolok itu.
Difahamkan, salah seorang isteri kepada tauke mi kolok itu adalah rakyat Indonesia.
Dipercayai dia hanya mendaftarkan perkahwinannya itu secara sah bersama isteri berbangsa Cina.
Untuk pengetahuan kedua-dua isterinya merupakan pekerjanya dan kini sedang berbadan dua.
Sementara itu, seorang pegawai polis mennjelaskan, perkahwinan pasangan tersebut harus didaftarkan dengan seorang wanita di bawah undang-undang.
Borneo Network difahamkan, lelaki tersebut berkahwin dengan seorang wanita tempatan secara sah dan seorang lagi isterinya merupakan warga Indonesia yang dikahwini secara tidak sah.
Perkahwinan yang kini sedang trending di media sosial turut mendapat reaksi daripada Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak yang berkongsi satu hantaran sambil memuat naik sekeping gambar pengantin tular tesebut.
“Status perkahwinan yang sah adalah perkahwinan yang didaftarkan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 di Jabatan Pendaftaran Negara,” menurutnya dalam hantaran itu.
Di Malaysia, hanya lelaki Islam dibenarkan untuk memiliki sehingga empat isteri.
Bagi bukan Islam tindakan ini adalah kesalahan jenayah dibawah Seksyen 494 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda.
Jabatan Imigresen menambah, suami atau isteri asing kepada warganegara Malaysia boleh diberikan kemudahan lanjutan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang untuk tempoh lima (5) tahun sekiranya memenuhi syarat-syarat permohonan, antaranya sebagai contoh; status perkahwinan yang masih sah semasa membuat permohonan lanjutan.
Katanya, pas lawatan sosial jangka panjang adalah satu pas yang dikeluarkan kepada pelawat asing untuk tinggal sementara di Malaysia bagi tempoh tidak kurang daripada 6 bulan.
Lanjutan boleh diberikan sekiranya pemegang pas tersebut telah memenuhi kelayakan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Borneo Network difahamkan, Lim Soo Kien yang juga seorang tauke kolok mi menikahi Ivy Ong dan Dewi Kartika dalam satu majlis besar-besaran di sebuah restoran di Jalan Simpang Tiga, sini malam Isnin.
Rata-rata netizen mengagumi lelaki kerana mampu berkahwin dengan dua wanita secara serentak, namun ada yang mempersoal sama ada perkahwinan itu sah di sisi undang-undang.
“Wow..dah dapat kawin dua Chinese kenek..ingatkan Islam aja dapat kahwin hingga empat,” kata seorang netizen.