35 sekolah daif di Sri Aman, Lubok Antu perlu dibaiki

SIMANGGANG— Kementerian Pendidikan digesa menyegerakan naik taraf 35 sekolah berstatus daif di Sri Aman dan Lubok Antu, kata Datuk Francis Harden Hollis.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak itu berkata, daripada jumlah itu 18 sekolah daif di Sri Aman memerlukan perhatian manakala di 17 lagi di Lubok Antu perlu diberi fokus.

“Perancangan untuk membaik pulih kesemua sekolah ini telahpun dibuat.

“Namun ia memerlukan peruntukan segera dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar kerja-kerja membaik pulih ini dapat dijalankan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap selepas mendengar taklimat khas pembangunan sekolah daif di sini pada Selasa.

Tegasnya, kerjasama kesemua pihak daripada Kementerian Pendidikan di peringkat persekutuan mahupun negeri amat penting dalam merealisasikan usaha menaik taraf sekolah daif kepada skala yang lebih baik.

Harden menambah, terdapat beberapa projek baik pulih dan bina semula sekolah bagi Bahagian Sri Aman sudah dirancang bahkan ada pembangunan tersebut yang telah pun bermula pelaksanaannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 sebelum ini berkata, sejumlah RM930 juta diperuntuk bagi menaik taraf bangunan dan prasarana 450 sekolah daif, termasuk 185 projek di Sarawak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 26 Januari lalu dilaporkan berkata, setakat ini sebanyak 693 daripada 1,069 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak telah dibaik pulih.
Next Post Previous Post