Tapak projek Terminal Bas Kapit masih hutan belukar

Tapak cadangan bagi projek Terminal Bas Kapit di Jalan Bleteh masih dikelilingi hutan belukar. Gambar ihsan UKAS

KAPIT— Selepas hampir dua tahun cadangan pembinaan Terminal Bas Kapit diuar-uarkan, tapak projek berkenaan masih dikelilingi hutan belukar.

Tiada tanda-tanda projek itu akan bermula ditemui di tapak cadangan yang terletak di Jalan Bleteh itu, hanya semak-samun kelihatan dan bunyi serangga kedengaran.

Status terkini perkembangan projek itu menimbulkan persoalan, terutama bagi penduduk tempatan yang amat mengharapkan kemudahan itu sejak sekian lama.

Pembinaan terminal itu perlu dipercepatkan mengikut perancangan awal.

“Tinjauan di kawasan dan tapak yang dicadangkan untuk membina terminal berkenaan pada Khamis mendapati ia masih lagi dikelilingi hutan belukar dan tidak mempunyai tanda-tanda akan dibina dalam masa terdekat.

“Cadangan tersebut masih tidak kelihatan sedangkan perkhidmatan bas di Kapit telah beroperasi sejak sekian lama,” menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Katanya, ketiadaan terminal itu menyebabkan pengusaha syarikat bas di Kapit menurun serta mengambil penumpang di kawasan parkir Pusat Komersial Bleteh.

“Keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan kepada penumpang di Kapit yang terpaksa menunggu di kaki lima kedai,” katanya.

Manakala operator bas pula menggunakan kawasan lapang di hadapan sebuah rumah kedai kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar Kapit sebagai pusat operasi.

Keperluan untuk membina terminal bas tersebut sudah dicakapkan sejak 2016 namun selepas lapan tahun sehingga kini penduduk masih menanti.

Penduduk berharap cadangan pembinaan Terminal Bas Kapit perlu dipercepatkan bagi memberikan kemudahan selesa memandangkan perkhidmatan bas sektor perjalanan Sibu-Kapit-Sibu telah beroperasi sejak 1 Januari 2022 dengan sambutan cukup baik daripada orang ramai.

Borneo Network sebelum ini melaporkan, pada Mei 2022, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin telah meninjau sendiri tapak itu selepas pengumuman cadangan projek tersebut.

Isu keperluan membina terminal bas itu antara yang dibangkitkan pada mesyuarat jawatankuasa pengangkutan bahagian yang dipengerusikan oleh Lee sendiri.

“Isu tersebut antara yang diketengahkan dan satu keperluan segera. 

"Salah satu isu yang dibangkitkan adalah keperluan untuk membina sebuah terminal bas di Kapit, berikutan adanya laluan jalan raya yang menghubungkan Kapit ke Sibu. 

"Selain itu, terdapat perkhidmatan bas setiap hari di laluan Kapit-Song-Kanowit-Sibu, jadi ini memerlukan sebuah terminal bas di Kapit dan juga stesen bas di Song," kata Lee selepas mesyuarat itu. 

Tambahnya, tapak cadangan untuk terminal bas itu berhadapan dengan Skim Penempatan Semula Bleteh di Jalan Bleteh.

Borneo Network sudah menghubungi Lee Kim Shin dan masih menunggu maklum balasnya.
Next Post Previous Post