SST 8 peratus seluruh negara, Sarawak tidak terkecuali- Abang Johari

Premier Sarawak menyempurnakan pelancaran logo baharu Majlis Daerah Gedong sambil disaksikan oleh dif-dif kenamaan yang lain. Gambar ihsan UKAS

KUCHING-- Sarawak tidak terkecuali daripada kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, kenaikan SST ke 8 peratus bermula 1 Mac lalu, berbanding 6 peratus sebelum ini dikuat kuasa seluruh negara.

“Susulan itu Sarawak tidak terkecuali daripada kadar baharu SST tersebut.

"SST ini di bawah (bidang kuasa kerajaan) persekutuan, ia dilaksanakan di seluruh negara.

"Tetapi kita ada boleh mengikut keputusan kita sendiri jika ia di bawah bidang kuasa negeri...Tetapi bagi SST ini ia (pelaksanaannya) di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Daerah Gedong di Hikmah Exchange di sini hari ini.

Pada 1 Mac lalu, kadar baharu SST adalah 8 peratus, namun kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Peningkatan kadar SST baharu ke 8 peratus ini diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2024 Oktober lalu.

Difahamkan ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.

Langkah itu juga akan membantu kerajaan terus menjana pendapatan untuk negara.

Peningkatan kadar ini dijangka akan menambah hasil kutipan kerajaan.

Tahun lalu, Malaysia sekadar mengutip kurang RM30 bilion.

Kutipan ini meletakkan Malaysia sebagai antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara, dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 11.8 peratus.

Kementerian Kewangan telah menganggarkan tambahan RM3 bilion hasil pada tahun depan dengan pelaksanaan kadar SST 8 peratus.
Next Post Previous Post