Sifar projek sakit tahun ini, Uggah

Uggah dalam gambar bertarikh 3 Mac melawat tapak projek pembinaan Jambatan Sungai Paku II, Tanjung Sebekut, Spaoh yang enam bulan dulu pernah dikategorikan sebagai projek sakit.

KUCHING--Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) menetapkan sifar projek sakit tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini termasuk sasaran 100 peratus atau sekurang-kurangnya 95 peratus dalam pengurusan perbelanjaan pembangunan.
 
“Kita telah diperuntukkan belanjawan sebanyak RM799.5 juta pada tahun ini. Pada 2021, prestasi perbelanjaan pembangunan kita berada pada 67.46 peratus dan pada 2022 meningkat kepada 68.16 peratus.
 
“Saya berbangga untuk menyatakan bahawa pada 2023, prestasi kita berada pada 85.69 peratus, antara yang tertinggi berbanding kementerian dan jabatan lain.
 
"Saya yakin kementerian ini boleh melakukan yang lebih baik," ujarnya sambil berkata MIPD turut mengutamakan sasaran mencapai prestasi sifar projek sakit.

Beliau berkata demikian selepas ceramah integriti Ustaz Syamsul Debat bersama pegawai dan kakitangan MIPD dan Majlis Berbuka Puasa di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, pada Isnin, menurut UKAS.

Hadir sama Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir Aidel Lariwoo, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau, pegawai-pegawai kanan JKR, Pihak Berkuasa Pelabuhan Kuching, Rajang, Tanjung Manis dan Samalaju.
 
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong.
 
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan mahu semua pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah MIPD mengemukakan masalah yang dihadapi berkaitan pelaksanaan projek terus kepada beliau dan pihak pengurusan mereka.

"Kita mohon setiap masalah yang berlaku dimaklumkan terus kepada pihak kami untuk kita bincangkan dan cari penyelesaiannya.

"Baru-baru ini semasa meninjau projek jalan raya di Bahagian Samarahan, sekumpulan ketua dan pemilik tanah memaklumkan isu pampasan tanah mereka.

"Sudah tentu ada di kalangan mereka marah, tetapi dalam taklimat awal yang diberikan, saya tidak diberitahu isu ini sama ada secara sengaja atau kesilapan hakiki.
 
"Saya sendiri, dua Timbalan Menteri MIPD dan Setiausaha Tetap MIPD sentiasa terbuka untuk menerima maklum balas daripada anda semua," tambahnya.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah juga menjelaskan kepentingan untuk semua terus berkhidmat dengan penuh integriti.

“Integriti adalah lebih daripada sekadar kejujuran. Integriti ialah komitmen untuk menjalankan tugas dengan cemerlang, keselamatan dan kebolehpercayaan," katanya.
Next Post Previous Post