Lelaki positif dadah pecah cermin ambulans di Sibu berjaya ditangkap

SIBU-- Seorang lelaki dicekup disyaki terlibat kes khianat dengan memecahkan cermin ambulans milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek, 43, ditangkap sekitar jam 2 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sibu.

"Semasa tangkapan dibuat ke atas suspek, polis telah merampas sebilah kerambit dari tangan suspek. 

"Turut dijumpai di dalam kenderaan yang dipandu saspek ialah sebilah parang yang jenis ‘kwan tao’," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kes itu, beliau memberitahu, sekitar jam 12.21 tengah hari pada hari yang sama, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mengatakan pada tarikh yang sama jam 12 tengah hari bengkel membaiki pendingin hawa kenderaan miliknya telah didatangi seorang lelaki (suspek) tidak dikenali.

Jelas Zulkipli, suspek kemudian bertindak memukul dan memecahkan cermin sebuah kenderaan jenis ambulans dengan menggunakan dengan sebilah parang jenis ‘kwan tao’. 

Susulan kejadian itu, tegasnya polis mengesan dan berjaya menangkap suspek pada hari yang sama.

"Punca kejadian masih dalam siasatan. 

"Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis meth/amp," tambahnya lagi.

Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan. 

"Kes di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya," tegasnya.
Next Post Previous Post