Kenyalang Gold Card insiatif prihatin kerajaan, Ting

MIRI-- Warga emas berumur 60 tahun ke atas digesa memohon Kenyalang Gold Card (KGC) supaya mudah mendapat pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chew Yew berkata, inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini sangat baik dalam mengambil berat kesihatan rakyat di negeri ini.

"Pemeriksaan kesihatan perlu dibuat setahun sekali bukan sahaja untuk warga tua malah masih muda, ini sangat penting.

“Kenyalang Gold Card diperkenalkan adalah untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas di Sarawak.

"Pemegang kad menikmati kemudahan dan manfaat dalam bentuk diskaun, rebat dan lain-lain kemudahan daripada pelbagai organisasi dan sektor komersial,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bakul Kasih dan Bubur Lambuk Ramadan 2024 serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin di Kampung Lereng Bukit, semalam.

Seramai 269,777 warga emas Sarawak kini menjadi KGC setakat November 2023.

Ting turut memuji usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan program tersebut yang merupakan salah satu pendekatan yang baik terhadap masyarakat.

“Mereka melibatkan diri dalam masyarakat untuk membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bentuk bantuan dalam apa juga usaha.

“Begitu juga dengan pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Liansin Trading Sdn Bhd dan Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd di atas penganjuran program ini selain menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama membantu golongan masyarakat kita,” ujarnya.

Gambar ihsan UKAS
Next Post Previous Post