10 kes rabies baharu, Padawan, Serian rekod kes positif tertinggi minggu lepas

KUCHING-- Sepuluh kes rabies dilaporkan di Padawan, Matang, Serian, Samarahan, Bintulu dan Bau bagi tempoh minggu lepas.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng berkata, jumlah itu amat mengejutkan kerana dalam tempoh sama minggu sebelumnya hanya dua kes direkodkan.

"Saya amat terkejut jumlah kes positif rabies minggu ini iaitu sepuluh kes dilaporkan.

"Tiga daripadanya dilaporkan di Padawan, manakala tiga lagi di Serian sementara satu kes masing-masing di Samarahan, Bintulu, Bau dan Matang," katanya menerusi siaran langsung Facebook Live ‘Shall WEE Talk’ pada Sabtu lalu.



Wee berkata, lapan daripada kes itu melibatkan anjing liar manakala selebihnya anjing peliharaan.

Jelasnya, kes positif rabies ini dikesan pada minggu lalu.

"Oleh itu, saya berharap masyarakat terus bersikap berwaspada dan menjaga haiwan peliharaan masing-masing dengan memvaksinkannya.

"Ini dapat mencegah haiwan peliharaan daripada dijangkiti wabak rabies," katanya.

Tegasnya, wabak rabies ini bukan satu perkara yang boleh diambil sambil lewa kerana ia melibatkan nyawa.

"Ini bukan sesuatu yang boleh kita buat gurauan atau sebagainya, ini adalah masalah yang serius, jadi ambillah langkah berjaga-jaga untuk mencegahnya sekali gus menghentikan penularan wabak ini," katanya.
Next Post Previous Post