Sarawak catat empat kes buang bayi dalam tempoh tiga bulan

KUCHING—Sebanyak empat kes pembuangan bayi direkodkan di negeri ini dari Januari sehingga Mac 2024.

Ini termasuk kes terbaharu membabitkan seorang bayi perempuan yang diselamatkan di Pusat Perlindungan Bayi atau 'Baby Hatch' Pusat Perubatan Borneo (BMC) Kuching pada pagi Ahad.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak- Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, statistik daripada Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (Unit D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak mendedahkan sebanyak 54 kes pembuangan bayi atau janin direkodkan bagi lapan tahun lalu di antara Januari 2016 hingga Disember 2023.

“Dalam tempoh sama (2024), mengikut peratusan bilangan bayi yang dibuang dengan bilangan kes remaja hamil di Sarawak, tren peningkatan dan penurunan adalah tidak ketara dan status quo di bawah satu peratus iaitu antara 0.19 peratus hingga 0.62 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke BMC Kuching di sini pada Isnin, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Lawatan tersebut bertujuan bagi merangka pelan tindakan berhubung kes seorang bayi perempuan yang diselamatkan melalui fasiliti tempat perlindungan bayi di BMC.

Mengulas mengenai bayi perempuan yang diselamatkan itu, Dato Sri Fatimah meminta ibu kandung kepada bayi tersebut untuk tampil ke hadapan bagi memudahkan proses pendaftaran kewarganegaraan.

“Saya merayu kepada ibu kandung bayi yang diselamatkan untuk berjumpa terus dengan saya atau mana-mana pelindung kanak-kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak demi kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya.
Next Post Previous Post