Lebih baik Abdul Karim lihat sama ada Sarawak Pay ‘membogelkan’ rakyat atau tidak

KUCHING — Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR, Iswardy Morni mencadangkan kerajaan Sarawak melihat ‘kebogelan’ aplikasi e-wallet Sarawak Pay (SPAY), di tengah-tengah kehangatan isu penangguhan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) untuk penjawat awam negeri ini.

Iswardy berkata demikian sebagai maklum balas terhadap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyifatkan mendaftar dengan PADU ibarat ‘membogelkan diri’ apabila mendedahkan semua butiran termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

“Abdul Karim patut lihat ‘kebogelan’ SPAY dulu, bukan persoalkan PADU. Cuba buat perbandingan kedua-duanya.

“Saya tak salahkan SPay, jika PADU ini ibarat’ membogelkan’ rakyat bagaimana pula dengan SPAY?,” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial semalam.

Iswardy berhujah, tahap keselamatan data peribadi rakyat yang menggunakan SPAY patut dipersoal apatah lagi platform itu dibangunkan oleh orang luar menggunakan seratus peratus syarikat China, Union Pay yang berpangkalan di Shanghai.

“PADU pula dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tempatan dari Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang membabitkan kerjasama semua agensi lain.

"Bukan saya nak pandang rendah SPAY, tetapi Abdul Karim perlu melihat perkara ini sebelum mempersoalkan kewibawaan PADU,”hujahnya.

Sementara itu, cubaan untuk mengaktifkan Union Pay, syarikat China didakwa Iswardy bagaimanapun tidak berjaya. 

Tidak diketahui sama ada Iswardy ada menggunakan SPayInternational, serta mengaktifkan Union Pay sehingga berbogel seperti didakwa orang kuat PKR Sarawak yang diangkat tinggi oleh pimpinan PKR Malaya tetapi selalu menjadi bahan ketawa orang Sarawak.

Hujah Iswardy itu mendapat reaksi daripada netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan Iswardy membandingkan SPAY dengan PADU.

Menurut mereka, tidak wajar membandingkan platform e-wallet itu dengan PADU.

“Satu Malaysia ke yang isi Sarawak Pay tu?

“Sarawak Pay tidak isytihar gaji. Sarawak Pay tidak wajib, Sarawak Pay tidak isytihar hutang,” kata mereka.

“Dekat Sarawak pay aset kita keluar kah brother..seperti jumlah kereta kita duit bank kita atau tempat tinggal kita..Saja tanya sebab tak pakai Sarawak Pay?

“Sarawak Pay tak wajib jaharu.”

“Ingatkan walaun saja yang bodo.”

“Cubalah fikir ke depan, YB Karim jelas faham akan rakyat.”

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama kerajaan Sarawak minggu ini berhubung PADU.

Katanya, ia susulan arahan oleh kerajaan negeri agar pendaftaran dan kemas kini PADU melibatkan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri itu ditangguhkan.

Sementara itu, Sabah pula mahu Kementerian Ekonomi menghentikan sementara pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) dan membuat penilaian semula terhadap pelaksanaan program berkenaan.

Memetik Berita Harian, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata beliau mengambil berat gesaan Kerajaan Persekutuan untuk pendaftaran menyeluruh sistem PADU, terutama apabila maklumat peribadi menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

"Saya juga kurang selesa dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung isu ini (pendaftaran PADU) yang dilihat seolah-olah memaksa (orang ramai).

"Sehubungan itu, saya menggesa agar beliau menghentikan sementara (pendaftaran PADU) dan buat penilaian semula strategi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), menyifatkan pendaftaran PADU selama empat bulan yang menyasar kira-kira 20 juta rakyat, bukan saja sesuatu yang membimbangkan, malah membingungkan.
Next Post Previous Post