IC hilang, anak dikejar orang awam curi zink punca dua ibu buat laporan palsu

KUCHING-- Seorang mahu elak bayar denda kerana anak hilangkan kad pengenalan, seorang pula mahu selamatkan anak yang dikejar orang awam kerana mencuri atap zink, itulah situasi hingga sanggup membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua kes itu masing-masing dilaporkan di Balai Polis Batu Kawa dan Balai Polis Siburan.

"Jangan buat laporan palsu kerana individu yang didapati berbuat demikian boleh dipenjara," tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kes yang dilaporkan di Balai Polis Batu Kawa, Abang Zainal berkata, laporan palsu itu dibuat oleh seorang wanita berusia 52 tahun sekitar jam 11.52 pagi semalam.

"Kenyataan pengadu bahawa pengadu telah diragut oleh dua orang lelaki menaiki motosikal jenis tidak pasti adalah palsu.

"Hasil soal siasat terhadap pengadu mendapati kejadian tersebut tidak berlaku, kad pengenalan anak pengadu telah tercicir dan pengadu membuat laporan palsu kerana tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran denda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan kad pengenalan baru," jelasnya.

Tambahnya pengadu telah mendapat nasihat daripada jiran pengadu (kawan) untuk membuat laporan palsu jika ingin mengelakkan dirinya daripada dikenakan denda. 

"Tujuan pengadu membuat laporan palsu adalah kerana pengadu takut didenda oleh pihak JPN disebabkan kehilangan kad Pengenalan Diri anak pengadu," ujarnya.

Manakala laporan palsu dibuat di Balai Polis Siburan pula, katanya dibuat oleh seorang wanita berusia 45 tahun yang mendakwa motosikalnya hilang.

"Kenyataan pengadu bahawa motosikal jenis Yamaha 135 LC milik pengadu telah hilang adalah palsu.

"Hasil soal siasat terhadap pengadu mendapati kejadian tersebut tidak berlaku. Anak pengadu telah menggunakan motosikal tersebut dan meninggalkan motosikal tersebut bersama anak kunci di kawasan Serian. 

"Dipercayai anak pengadu dikejar oleh orang awam kerana mencuri zink di kawasan perumahan di Serian," jelasnya.

Tambahnya, pengadu mengetahui perkara ini dan bimbang tentang keselamatan anak pengadu. 

Oleh itu, katanya, pengadu tampil ke balai untuk membuat laporan mengatakan motosikalnya telah hilang untuk menyelamatkan anaknya. 

"Tujuan pengadu membuat laporan palsu adalah kerana bimbang tentang keselamatan anak pengadu dan ingin mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kepada anak pengadu," katanya.
Next Post Previous Post