Projek SSLR 2 hubungkan Sarawak - Sabah tanpa melalui Brunei bermula

KUALA LUMPUR— Projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR II) Lawas ke Limbang - Mulu tanpa melalui Brunei yang bermula tidak lama lagi dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pembinaan baru dan menaik taraf jalan sedia itu melibatkan jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer (KM) dan dilaksanakan melalui empat pakej.

“Projek ini bakal menghubungkan bandar Lawas - Limbang - Pekan Mulu tanpa melalui Brunei menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM7.2 bilion.

“Pembinaan jajaran ini amat penting dalam meluaskan jaringan jalan raya ke kawasan pedalaman di utara Sarawak seterusnya menjana ekonomi yang baharu menerusi eko-pelancongan,”katanya.

Nanta berkata demikian pada majlis penyerahan surat pelantikan pengarah projek dan surat setuju terima bagi SSLR II kepada kontraktor utama di Kementerian Kerja Raya di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan penutupan pintu utama pelbagai negara termasuk negara bersempadan telah memberi 1001 pengajaran kepada Malaysia.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyaksikan penyerahan surat pelantikan pengarah projek dan surat setuju terima bagi SSLR II kepada kontraktor utama di Kementerian Kerja Raya di sini, pada Rabu. Gambar ihsan JKR Sarawak

Penutupan pintu sempadan negara Brunei yang menyebabkan kawasan utara negeri Sarawak terputus hubungan dengan Kuching telah menyebabkan kesukaran yang bukan sedikit, apatah lagi apabila bantuan barangan keperluan penduduk di kawasan utara Sarawak terpaksa dihantar melalui negeri Sabah.

Beliau berharap pihak kontraktor memastikan pelaksanaan projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual dan memberi nilai yang munasabah kepada kerajaan.

“Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Jabatan Kerja Raya Sarawak yang diberikan kepercayaan bagi mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek bernilai dan berimpak tinggi ini, sekaligus dapat meningkatkan kompetensi selaku Agensi Pelaksana Teknikal di Wilayah Sarawak,” tambah beliau lagi.

Hadir dalam majlis berkenaan ialah YBhg Datu Ir. Ts. Richard Anak Tajan, Pengarah Kerja Raya Sarawak yang juga dilantik sebagai Pengarah Projek SSLRII bagi mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek bagi pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (selaku pemilik projek).
Next Post Previous Post