Ada menara tetapi capaian internet di Lingga, Sebuyau dan Pusa amat lemah

KUALA LUMPUR— Masalah komunikasi dan capaian internet yang amat lemah terus menghantui penduduk di Daerah Lingga, Sebuyau dan Pusa.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli (gambar) berkata, penduduk di daerah itu sering menyuarakan masalah kepada beliau memohon agar kerajaan menyelesaika masalah yang sudah berlarutan sekian lama.

“Saya telah beberapa kali membangkitkan berkenaan masalah telekomunikasi dan capaian internet yang amat lemah ini.

“Namun sehingga kini isu berkenaan tidak pernah selesai,” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Mohamad Shafizan berkata demikian semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 Kementerian Digital sempena Parlimen Malaysia pada Selasa.

Beliau berkata, capaian internet khususnya di kawasan pedalaman Sarawak perlu ditingkatkan dalam usaha menggerakkan rakyat Malaysia ke arah dunia digital.

Tambahnya, peruntukan sebanyak RM800 juta oleh kerajaan kepada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) perlu digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan infrastruktur ini.

“Setakat 31 Januari 2024 sebanyak 299 daripada 872 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi di Sarawak.

 “Manakala sebanyak 3,803 daripada 3,873 stesen pemancar sedia ada telah dinaiktaraf,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar menara-menara telekomunikasi yang telah dibina digunakan sebaik mungkin dan bukannya sebagai ‘naked tower’ yang tidak mempunyai apa-apa fungsi kepada rakyat.
Next Post Previous Post