'Little Borneo Birdie' lakar nama Sarawak ke pentas dunia

KUCHING-- Duta kebudayaan cilik Sarawak, Dion Das Louis atau lebih dikenali ‘Little Borneo Birdie’ antara ahli pasukan negara ke Kejohanan Seni Persembahan Dunia Ke-27 (WCOPA 2024) di Long Beach, Califonia, bersedia untuk terbang ke California, Amerika Syarikat menjelang akhir Jun ini.

Bapanya, Louis Lansam memberitahu pertandingan itu akan diadakan dari 1 hingga 5 Julai manakala penyampaian pingat akan diadakan sehari kemudian.

Perkara itu dinyatakan Louis ketika bersama Dion dan ibunya Edina Lanying melakukan kunjungan hormat terhadap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya di sini, hari ini.

Memetik laporan Utusan Borneo, Dion telah melayakkan diri ke kejohanan dunia itu selepas memenangi pingat emas di grand final Kejohanan Seni Persembahan Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur pada 27 Januari lalu.

Dia yang membawa bendera Sarawak melakukan persembahan tarian kontemporari etnik dengan membawa watak seekor anak burung lantas menamakan persembahannya sebagai 'Little Borneo Birdie'.

Menurut Louis, persembahan tarian tradisional Iban, iaitu 'Ngajat' oleh anaknya dipengaruhi unsur-unsur daripada dua burung Borneo yang agung iaitu ‘Ruai’ atau burung Argus Malaya Besar dan ‘Kenyalang’ atau Burung Enggang.

Ini digambarkan dengan elegan dari segi pakaian tradisional dipakainya yang berunsurkan bulu burung.

Langkah-langkah tariannya juga dikiograf untuk meniru pergerakan tertentu (Burung) Kenyalang ketika ia terbang melalui pokok yang tinggi dan ‘Ruai’ ketika ia membentangkan kepaknya yang cantik di atas lantai hutan jauh di pedalaman negeri Sarawak.

Louis berkata, anaknya yang merupakan murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road di sini, mempunyai bakat semula jadi untuk ngajat.

Uggah semasa menerima kunjungan mereka berkata amat gembira dengan penyertaan Dion dalam kejohanan bertaraf dunia itu.

"Kita sangat gembira kerana anak muda daripada komuniti kita boleh berjaya ke peringkat dunia," katanya.
Next Post Previous Post