Lelaki tunggu azan Maghrib tak sangka dengar jeritan murid sekolah terperangkap dalam bas

JOHOR BAHRU -- Siapa sangka hasrat seorang lelaki untuk mendengar azan Maghrib sementara menunggu waktu berbuka puasa menjadi titik penyelamat nyawa seorang kanak-kanak perempuan yang tertinggal dan terperangkap dalam bas sekolah di kawasan perumahan pangsa di Bandar Baru Uda, Tampoi di sini semalam.

Detik itu dikongsikan Ahmad Syafiee dalam Facebooknya yang kini mendapat lebih 1,000 like dan 635 perkongsian.

Ahmad ketika dihubungi Borneo Network memaklumkan semasa kejadian sekitar jam 7.15 malam ketika dia sedang menunggu di luar rumahnya untuk mendengar laungan azan Maghrib yang dijadualkan pada jam 7.19 malam (waktu berbuka kawasan Johor Bahru) untuk menanti waktu berbuka puasa.

"Tengah duduk santai depan pagar terdengar jeritan budak-budak yang mula-mulanya perlahan dan lama-kelamaan semakin kuat.

"Bila diperiksa rupa-rupanya ada seorang kanak-kanak terperangkap dalam bas sekolah yang dipakir hadapan rumah saya," katanya. 

Jelasnya, mungkin kanak-kanak itu tertidur dalam bas sekolah semasa pulang dari sekolah tanpa disedari pemandu bas berkenaan.

Selepas itu, beliau mengeluarkan kanak-kanak terbabit dari bas sekolah berkenaan dan membawanya berbuka puasa bersama.

Tambahnya, mujur ada nombor telefon ahli keluarga kanak-kanak berkenaan pada tag nama dipakainya.

"Selepas menghubungi nombor telefon tersebut, ibu kanak-kanak terbabit datang menjemputnya pulang," katanya sambil menambah jelas kedengaran tangisan kerisaun ibu kanak-kanak terbabit semasa berbual dalam telefon.

Justeru, beliau berharap pemandu bas sekolah atau van dan sebagainya lebih cakna dalam menjalankan tugas mereka.

"Peringatan dan pengajaran untuk pemandu bas sekolah dan van sekolah sebelum anda selesai menjalankan tugas anda periksalah dahulu kerusi-kerusi penumpang bagi memastikan tiada lagi barang atau kanak-kanak yang tertinggal," ujarnya.


Dalam hantaran Ahmad itu, rata-rata netizen memuji tindakannya yang pantas menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Selain itu, netizen juga berharap kejadian itu menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pemandu bas sekolah di negara ini agar lebih berhati-hati agar insiden yang sama tidak berulang yang boleh meragut nyawa.
Next Post Previous Post