Lebih 8,000 tiada dokumen pengenalan diri di Sarawak

Program menangani isu rakyat tanpa dokumen pengenalan diri di seluruh Sarawak. Gambar kredit UKAS

TAMIN— Dianggarkan lebih 8,000 rakyat di negeri ini belum mempunyai dokumen pengenalan diri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christhoper Gira Sambang.

Beliau berkata di kawasan Tamin sahaja, lebih 200 orang dikenal pasti belum mempunyai dokumen pengenalan diri.

Sehubungan itu katanya, inisiatif kerajaan Sarawak menghantar Pasukan Petugas Khas (PPK) ke kawasan rumah panjang amat bertepatan untuk menyelesaikan isu ini.

“Inisiatif ini memudahkan Tuai Rumah dan Penghulu untuk mengesahkan status mereka yang memohon sama ada rakyat Sarawak atau bukan.

“Usaha ini telah dipersetujui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kementerian Dalam Negeri menyelesaikan masalah rakyat yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk menangani Isu Penduduk Sarawak yang tidak mempunyai Taraf Kewarnegaraan di Dewan Serbaguna Sekuau pada Khamis.

Ia merupakan lokasi keempat di DUN Tamin di mana sebelumnya ia diadakan di Rumah Panjang Sungal Rau, Bangunan Lama Pejabat Daerah Selangau dan Rumah Panjang Tinting Sebenda.

Beliau menambah, petugas itu akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah, Jabatan Pendaftaran Negara, Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Sarawak dan Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah ini. 

Di Miri, program yang sama pada 20 hingga 30 November lalu telah diserbu ratusan rakyat yang sanggup berbaris panjang untuk mendaftarkan sijil kelahiran dan Mykad.

Malah sambutan luar biasa itu mengejutkan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting yang tidak menyangka masalah ketiadaan dokumen itu begitu membimbangkan.

"Saya pergi ke sana untuk memeriksa di dewan suarah tersebut dan alangkah terkejutnya melihat terlalu ramai orang berbaris di situ.

“Rakyat tanpa dokumen ini amat bersabar menunggu giliran mereka dan ada yang berbaring di lantai bersama anak-anak mereka.

Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man membantu kanak-kanak di Miri yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

"Saya telah bercakap dengan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menjalankan program tersebut dan mereka juga tidak menjangka akan kehadiran terlalu ramai itu," katanya yang tersentuh dengan isu yang dihadapi rakyat di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu berkata, kebanyakan mereka yang hadir dari kawasan pedalaman utara Sarawak yang sukar untuk datang mengikut masa ditetapkan.

Awal bulan ini, Pusat Khidmat Parlimen Miri telah menganjurkan perkhidmatan kaunter Pusat Khidmat secara khususnya untuk membantu kanak-kanak di Pusat Pembelajaran Church Methodist Tudan yang berhadapan dengan isu permohonan kewarganegaraan. 

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, bantuan termasuk memberi khidmat nasihat untuk proses permohonan kewarganegaraan, semakan dokumen dan mengumpul maklumat permohonan.

“Selain itu khidmat nasihat guaman percuma dan bantuan guaman untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk permohonan masuk ke sekolah.

“Tujuan utama program ini adalah untuk mencari jalan bagi membantu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan (Stateless child) mendapatkan dokumen termasuk perintah Mahkamah yang diperlukan bagi memasuki ke sekolah aliran utama. 

“Seramai 43 kanak-kanak bersama-sama dengan ibu bapa mereka yang telah hadir untuk mendapatkan perkhidmatan kami setakat ini,” katanya dalam kenyataan.

Julai tahun lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Sarawak telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menangani isu rakyat tanpa dokumen pengenalan diri di negeri itu.

Pasukan itu dibahagikan kepada jawatankuasa induk yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan perangkaan dari Jabatan Premier Sarawak, sejumlah 9,314 penduduk di negeri ini telah dikenal pasti tidak memiliki dokumen pengenalan diri. 

“Daripada jumlah itu, seramai 3,756 individu didapati tiada dokumen dengan kebanyakkannya membabitkan penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.

“Selebihnya memiliki sijil lahir tetapi status belum ditentukan, memiliki sijil lahir tetapi bukan warganegara serta pemegang kad pengenalan hijau,” katanya.
Next Post Previous Post