Bil karan domestik Sarawak naik?

KUCHING— Pengguna elektrik domestik negeri ini dijangka berdepan kenaikan bil bulanan berikutan perlaksanaan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam peratus ke lapan peratus.

Premier Sarawak kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak tidak terkecuali daripada kenaikan SST itu kerana ia di bawah bidang kuasa Persekutuan dan dilaksanakan di seluruh negara.

“Namun kerajaan Negeri akan terus membantu pengguna domestik melalui inisiatif sendiri.

“Malah di Semenanjung mereka ada pengecualian, maka kita boleh membuat keputusan sendiri juga,” katanya selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Daerah Gedong di Hikmah Exchange di sini hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan SST lapan peratus hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan elektrik lebih daripada 600 kilowatt sejam (kWj).

Hampir 85 peratus pengguna elektrik di negara ini berada di bawah ambang tersebut dan tidak terkesan dengan sistem percukaian yang ditambah baik itu.

Selain itu, Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) pada 1 Mac lalu turut mengumumkan pengecualian kenaikan caj SST terhadap bil air dan pembetungan.

Peningkatan kadar SST baharu ke 8 peratus ini diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2024 Oktober lalu.

Berkuat kuasa pada 1 Mac lalu, kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.
Next Post Previous Post