Polis lepaskan tembakan, suspek cuba lari elak ditahan

MIRI— Polis melepaskan dua das tembakan selepas dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Axia cuba melarikan diri sehingga nyaris merempuh anggotanya dalam kejadian di Tudan Desaras semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, berkata, dalam kejadian sekitar 5.55 petang itu, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri menahan kenderaan mereka selepas disyaki melakukan ugutan bunuh terhadap seorang wanita.

“Semasa tangkapan dijalankan, suspek tidak memberikan kerjasama dan telah bertindak agresif dengan cuba melanggar anggota bertugas.

“Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan tetapi suspek masih lagi melarikan diri sehinggalah kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam longkang di tepi jalan. 

“Kedua-dua suspek hanya luka sedikit akibat kemalangan kendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, kedua-dua suspek dibawah Seksyen 506/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Terdahulu beliau mengesahkan pada hari yang sama menerima aduan daripada seorang wanita dari kawasan perumahan Desa Desaras menyatakan telah diancam bunuh oleh seorang suspek lelaki tidak dikenali. 

Punca kejadian, suspek tidak berpuas hati ditegur oleh pengadu kerana tindakannya yang membuat bising di kawasan perumahan pengadu.

Bertindak daripada laporan itu, anggota dari JSJ telah pergi ke lokasi kejadian dan kebetulan ketika sampai kedua suspek dilihat menaiki kereta Perodua Axia.

Polis mengarahkan mereka berhenti, namun pemandu berkenaan memecut sehingga nyaris merempuh anggota polis sebelum terbabas ke longkang di tepi jalan.

Alexson menambah, kedua-dua suspek direman sehingga 9 Mac untuk membantu siasatan.
Next Post Previous Post