Gambar tular dakwa kanak-kanak dilarikan bersama Triton palsu

Gambar kenderaan Triton yang ditularkan individu tidak bertanggungjawab di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak semalam.

MIRI-- Gambar tular yang mendakwa sebuah kenderaan jenis Triton VGT hilang bersama seorang kanak-kanak adalah tidak benar dan palsu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata hasil siasatan polis mendapati anak kandung pemilik kenderaan tersebut telah mengesahkan bahawa kereta tersebut diguna ahli keluarga mereka.

"Kerera tersebut sedang diguna pakai oleh ahli keluarga mereka tanpa ada kejadian hilang bersama kanak- kanak.

"Justeru, polis mengesahkan gambar-gambar yang tular di media sosial mengenai kejadian sebuah kenderaan jenis Triton VGT berwarna silver hilang bersama kanak-kanak adalah tidak benar dan palsu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, gambar-gambar kereta yang tular tersebut diambil oleh ahli keluarga sendiri dan pernah dimuat naik di akaun Facebook peribadi ahli keluarga.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu- isu sensitif di media sosial.

Tegasnya ia boleh menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat tempatan. 

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah, masyarakat Miri disarankan untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk perkongsian maklumat atau menghubungi talian 085- 433730," ujarnya.
Next Post Previous Post