Video Tular: Polis buru sekumpulan lelaki bersenjata di Jalan Batu Kawa

KUCHING-- Polis telah mengenal pasti sekumpulan lelaki yang membawa objek berbahaya di tempat awam di hadapan rumah kedai di Jalan Batu Kawa dalam video tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, satu operasi telah digerakkan bagi mengesan dan menangkap kesemua individu terlibat.

"Polis percaya tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat kerana satu operasi telah digerakkan bagi mengesan dan menangkap kesemua individu yang terlibat, turut membantu ialah pasukan daripada D7 dan juga D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak," katanya dalam kenyataan malam ini.

Tegasnya, polis memandang serius ke atas apa-apa jua jenayah yang berlaku di daerah ini. 

Justeru, beliau menyeru kepada masyarakat agar terus mempercayai polis dalam menguatkuasakan undang-undang dan menyalurkan apa-apa jua maklumat agar dapat membantu menyelesaikan kes-kes jenayah yang dilaporkan.

Terdahulu, video tular dalam aplikasi media sosial beberapa suspek lelaki membawa objek berbahaya di tempat awam.

Abang Zainal berkata, pihaknya mengesan video tular tersebut sekitar jam 4.15 petang yang telah dimuat naik ke dalam aplikasi Telegram dalam satu portal berita media massa yang dinamakan sebagai Edisi Siasat. 

"Kandungan video setakat 21 Februari 2024 jam 6 petang itu telah ditonton sebanyak 22,000 kali.

"Dalam klip video ditularkan, sekumpulan lelaki disyaki dari dua kumpulan telah berlaku pertengkaran di kawasan tempat letak kenderaan awam Jalan Batu Kawa dan kelihatan beberapa individu membawa senjata tajam," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya polis IPD Padawan setakat ini tidak menerima sebarang laporan rasmi berkaitan insiden tersebut.

"Namun demikian, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan telah membuat aduan rasmi bagi tujuan siasatan. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas kesalahan membawa senjata berjadual di tempat awam. 

"Jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dihukum pemenjaraan tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak melebihi 10 tahun," ujarnya.
Next Post Previous Post