Pesan Tun Taib sentiasa adil, bantu rakyat tanpa mengira kaum jadi pegangan - Abang Johari

Abang Johari sebak mengenang jasa dan perjuangan Allahyarham Tun Abdul Taib semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.

KUCHING—Sarawak kehilangan mentor yang penting dalam membentuk kejayaan negeri ini sepanjang perkhidmatannya selepas pemergian mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Allahyarham merupakan seorang mentor yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu politik dalam membangunkan negeri ini.

“Saya sebenarnya telah dididik oleh Allahyarham Pehin Sri sejak saya memasuki bidang politik pada tahun 1981 semasa beliau menjadi Ketua Menteri di mana saya bersama-sama dengan beliau menghadapi cabaran dan dapat menstabilkan politik negeri ini hingga kita dapat kejayaan yang begitu besar,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada Rabu, menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Tambah beliau lagi, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud merupakan seorang yang amat mementingkan kesamarataan dalam mentadbir negeri ini tanpa mengira latar belakang rakyatnya.

“Saya masih ingat ketika saya dilantik sebagai Menteri Muda Pertanian, Allahyarham meminta saya untuk menolong golongan petani dan nelayan hingga kita berjaya menganjurkan Hari Ladang yang pertama di Kota Samarahan.

“Ini adalah salah satu pengajaran yang paling baik daripada Pehin Sri bukan sahaja kepada saya bahkan kepada rakan-rakan termasuklah Datuk Amar Douglas Uggah Embas,” ujar beliau.

Mengulas jasa-jasa Allahyarham, Premier Sarawak memberitahu bahawa Tun Abdul Taib telah banyak mengubah dasar-dasar pembangunan di Sarawak.

“Apabila beliau menjadi Ketua Menteri, beliau telah mengubah dasar-dasar pembangunan kita khususnya pembangunan tanah.

“Maka itulah tertubuhnya Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
“Kita haruslah mengusahakan khazanah kita di Sarawak ini untuk rakyat termasuklah ‘small holders’,” jelas beliau lagi.

Tun Abdul Taib, 87, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.40 pagi tadi di hospital swasta di Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham selamat tiba di Kuching pada jam 4.25 petang tadi dan terus dibawa ke rumah beliau di Demak Jaya, Jalan Bako.
Next Post Previous Post