Jenazah Tun Taib diberi penghormatan terakhir

KUCHING -- Jenazah mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selamat dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini tepat jam 5.11 petang Rabu. 

Setiba di perkarangan kediaman, jenazah Tun Abdul Taib diusung oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), diiringi isteri Allahyarham, Toh Puan Raghad Kurdi Taib serta keluarga, termasuk anakanda Allahyarham yang juga Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib.

Turut mengiringi jenazah ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Jenazah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib ditempatkan di ruangan khas sebelum bermulanya solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Selesai solat jenazah, majlis penghormatan terakhir buat Allahyarham bagi ahli keluarga dan kenalan terdekat itu dimulakan dengan bacaan tahlil dan Yassin diikuti solat fardhu Maghrib dan Isyak berjemaah.

Difahamkan, bacaan tahlil dan Yassin ini akan berlangsung sehingga Subuh (Khamis) dan jenazah Allahyarham akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi peluang kepada orang ramai memberi penghormatan terakhir pada jam 8 pagi sehingga 11.30 pagi. 

Sejurus selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak, berdekatan kediaman Allahyarham di sini untuk disolat sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib diterbangkan ke Kuching dari Kuala Lumpur dan selamat tiba pada jam 4.25 petang dengan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Jenazah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib selamat tiba dikediaman Allahyarham pada jam 5.11 petang. Gambar ihsan UKAS

Hadir sama di kediaman Allahyarham ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya serta kenamaan yang lain.


Gambar Ihsan UKAS
Next Post Previous Post