Guna kurier hantar dadah ke Sabah, Sarawak

LEMBAH KLANG— Menyewa kondominium mewah tetapi sebenarnya dijadikan stor menyimpan dadah sebelum dihantar ke Sarawak dan Sabah menggunakan perkhidmatan kurier.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din, modus operandi sindiket ialah dengan memilih kediaman kondominium yang disewa pada kadar RM2,500 sebulan kerana kawalan keselamatan di kawasan berkenaan adalah ketat.

Beliau berkata, sindiket dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan menjalankan kegiatan mengedar dadah untuk pasaran tempatan di kedua-dua negeri itu selain sekitar Lembah Klang, namun taktik tersebut tumpas dengan penahanan dua lelaki tempatan di sini pada 14 Februari lalu.

“Suspek berusia 26 dan 41 tahun itu masing-masing dalang sindiket dan penjaga stor, ditahan dalam dua serbuan sekitar Lembah Klang.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7.6 juta termasuk 134.87 kilogram (kg) syabu, 25.54 kg ekstasi, 8.26 kg ketamin, 8.25 kg erimin 5 dan 6.05 kg serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang ditemui di kondominium mewah di Cheras.

"Turut dirampas sepucuk pistol tiruan jenis Airsoft bersama dua kelopak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini lapor Harian Metro.

Mohd Kamaruddin berkata, di Lembah Klang sindiket ini akan mengambil pesanan daripada pelanggan sebelum dihantar oleh 'runner’ manakala bagi pelanggan dari Sabah dan Sarawak, dadah akan dihantar menerusi bungkusan kurier.

Berdasarkan bungkusan, polis percaya bekalan dadah itu diperoleh dari Myanmar yang dibawa masuk menerusi jalan darat, sama ada dari Bukit Kayu Hitam, Kedah atau Sungai Golok, Kelantan.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 membabitkan pelbagai aset sindiket berkenaan dianggarkan bernilai RM163,300.

"Aset yang disita membabitkan sebuah kereta Mercedes Benz E350, sebuah kereta Hyundai Sonata dan jam tangan berjenama.

"Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi ini berjumlah RM7.7 juta dengan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 850,000 penagih," katanya.

Beliau menambah, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 22 rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian air kencing mereka negatif dadah.

Kedua-dua suspek direman sehingga 27 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Next Post Previous Post